Eropah mungkin ada enam minggu simpanan bahan api jet - IEA

Fatih Birol
Fatih Birol
A
A
A

PARIS – Eropah berdepan risiko kehabisan bekalan bahan api jet dalam tempoh kira-kira enam minggu, susulan gangguan bekalan minyak global akibat konflik di Asia Barat.

Memetik laporan The Associated Press (AP), Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Fatih Birol berkata, keadaan itu berpotensi menyebabkan pembatalan penerbangan dalam masa terdekat sekiranya laluan bekalan minyak utama terus terjejas.

Beliau menyifatkan situasi semasa sebagai krisis tenaga terbesar yang pernah dihadapinya, berpunca daripada sekatan terhadap aliran minyak, gas dan bekalan penting lain melalui Selat Hormuz.

“Kini ia benar-benar menjadi ‘laluan genting’ dan akan memberi implikasi besar kepada ekonomi global.

“Di Eropah, kita mungkin hanya mempunyai baki bekalan bahan api jet untuk kira-kira enam minggu sahaja.

“Jika Selat Hormuz tidak dapat dibuka semula, kita akan mula mendengar berita mengenai pembatalan penerbangan antara bandar akibat kekurangan bahan api,” katanya dalam temu bual bersama media berkenaan.

Sebelum ini, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) memaklumkan bahawa hampir 20,000 pelaut dan kira-kira 2,000 kapal terkandas di Selat Hormuz, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).

IMO sedang menyiapkan pelan kecemasan bagi memindahkan hampir 20,000 pelaut dan sekitar 2,000 kapal yang terkandas di Selat Hormuz, menurut laporan media pada Rabu.

Ujar Birol, hampir 20 peratus perdagangan minyak dunia melalui Selat Hormuz ketika keadaan normal.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kegagalan membuka semula laluan tersebut dalam tempoh beberapa minggu akan memburukkan lagi tekanan terhadap bekalan tenaga global.

“Keadaan ini bukan sahaja mendorong peningkatan inflasi, malah boleh membawa kepada pertumbuhan ekonomi perlahan atau bahkan kemelesetan dalam sesetengah kes,” ujar beliau.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!