Sampel kes kebakaran korbankan notari awam dirujuk ke FIvEL

BUTTERWORTH – Sampel kes kebakaran di Lebuh King, George Town yang mengorbankan dua mangsa telah dirujuk ke makmal khas, Makmal Penyiasatan Kebakaran Elektrik (FIvEL) di Shah Alam bagi analisis lanjut.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM,) Datuk Ahmad Izram Osman berkata, siasatan kes itu kini dikendalikan oleh Bahagian Penyiasatan Kebakaran, Ibu Pejabat JBPM Pulau Pinang.
Menurutnya, walaupun Pulau Pinang mempunyai makmal siasatan kebakaran sendiri, kes yang melibatkan kebakaran elektrik akan dirujuk ke FIvEL di Shah Alam.
“Untuk kes melibatkan 'electrical fire', kita akan hantar ke FIvEL kerana ia lebih khusus.
"Namun, bagi kes biasa seperti melibatkan bahan pemecut (accelerant) atau kompaun hidrokarbon, ujian boleh dijalankan di makmal negeri,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 JBPM Pulau Pinang.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum dapat mengesahkan punca sebenar kebakaran kerana masih menunggu keputusan analisis makmal.
“Kita telah ambil beberapa sampel dan hantar ke makmal untuk tentukan sama ada kebakaran berpunca daripada pendawaian atau peralatan elektrik.
“Kita tidak boleh keluarkan sebarang kesimpulan awal kerana ia turut melibatkan agensi lain seperti Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Berhad (TNB),” ujarnya.
Tambahnya, sampel tersebut dihantar ke makmal sehari selepas kejadian berlaku.
“Tempoh keputusan penuh dijangka diperoleh dalam tempoh maksimum 14 hari.
“Bagaimanapun, kebiasaannya keputusan awal boleh diperoleh dalam tempoh sekitar seminggu atau sedikit lebih,” jelasnya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang notari awam dan kerani sebuah pejabat guaman maut selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah bangunan pejabat dua tingkat di Lebuh King, George Town pada petang Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, mangsa, Datuk San Markan Ganapathi, 88, ditemui di atas kerusi berhampiran meja pejabat di tepi tingkap manakala B Chandra, 60, ditemui dalam timbunan fail di tepi dinding bangunan berkenaan.
Menurutnya, San Markan yang merupakan bekas peguam terkenal dipercayai berada di pejabat guaman berkenaan bagi menguruskan beberapa urusan berkaitan dokumen guaman ketika kejadian berlaku.
"Mayat mangsa pertama ditemui pada jam 1.05 petang manakala mayat mangsa kedua ditemui pada jam 3.26 petang.
“Mayat mangsa wanita ditemui di bahagian tingkat atas berhampiran dinding, di bawah timbunan fail selepas lantai bangunan runtuh. Kedudukan kedua-dua mangsa tidak jauh antara satu sama lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

