Profesor Xueqin Jiang ramal AS berisiko tewas jika serang Iran dengan serangan darat

Jiang menjelaskan bahawa faktor geografi Iran menjadikan operasi ketenteraan darat amat mencabar. Foto Agensi
Jiang menjelaskan bahawa faktor geografi Iran menjadikan operasi ketenteraan darat amat mencabar. Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON- Profesor Xueqin Jiang yang diberi julukan 'Nostradamus China' memberi amaran bahawa Amerika Syarikat berisiko tewas sekiranya melancarkan serangan darat terhadap Iran, sekali gus berpotensi mengubah keseimbangan kuasa global.

Menurut beliau, konflik antara Amerika Syarikat dan Iran bukan sahaja belum berakhir, malah dijangka semakin memuncak dalam tempoh terdekat.

Pakar kelahiran China yang kini berpangkalan di Kanada itu berkata, terdapat kemungkinan operasi ketenteraan darat akan dilancarkan dalam masa terdekat, susulan penempatan kira-kira 50,000 anggota tentera Amerika Syarikat di rantau Asia Barat.

Jiang menjelaskan bahawa faktor geografi Iran menjadikan operasi ketenteraan darat amat mencabar, khususnya dengan kewujudan banjaran Pergunungan Zagros yang sesuai untuk taktik perang gerila.

Selain itu, kawasan gurun seperti Dasht-e Kavir dan Dasht-e Lut turut menyukarkan pergerakan tentera.

“Jika Amerika menyerang dari Iraq, mereka perlu berdepan kawasan pergunungan. Jika dari timur melalui Pakistan, mereka berhadapan gurun, manakala serangan dari selatan pula jauh dari sasaran utama iaitu Teheran,” katanya.

Dalam analisisnya, Jiang berkata, strategi utama Amerika Syarikat ketika ini dilihat tertumpu kepada penguasaan Selat Hormuz bagi memberi tekanan kepada ekonomi global.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran bahawa konflik berpanjangan boleh mengganggu bekalan minyak dunia dan menjejaskan kestabilan ekonomi global.

Jiang turut menegaskan bahawa sekiranya Amerika Syarikat tewas dalam konflik tersebut, kesannya bukan sahaja terhad kepada aspek ketenteraan, malah boleh membawa kepada perubahan besar dalam sistem ekonomi global.

Artikel Berkaitan:

Beliau berpendapat keadaan itu berpotensi melemahkan pengaruh Amerika Syarikat di peringkat antarabangsa serta mengubah pergantungan dunia terhadap sumber tenaga.

Sementara itu, gencatan senjata sementara antara Amerika Syarikat dan Iran yang dicapai pada 7 April lalu masih dilihat rapuh selepas rundingan damai di Islamabad gagal mencapai penyelesaian muktamad.

Walaupun perjanjian itu membenarkan laluan selamat kapal melalui Selat Hormuz, pergerakan kapal masih terhad dan belum kembali pulih sepenuhnya.

YouTuber terkenal menerusi saluran Predictive History yang mempunyai kira-kira 2.28 juta pelanggan itu menjadi sensasi internet selepas tiga ramalan dibuat beliau pada Mei 2024 menjadi tular dan dua daripadanya benar-benar berlaku.

Sebelum ini, Jiang juga pernah meramalkan kemenangan semula Presiden Donald Trump pada Pilihan Raya Presiden AS 2024. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!