Nostradamus China ramal Perang Iran-AS tidak akan tamat

BEIJING - Profesor Xueqin Jiang yang diberi julukan 'Nostradamus China' membuat ramalan baharu yang 'meresahkan' tentang Perang Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang kian memuncak.
YouTuber terkenal menerusi saluran Predictive History yang mempunyai kira-kira 2.28 juta pelanggan itu menjadi sensasi internet selepas tiga ramalan dibuat beliau pada Mei 2024 menjadi tular dan dua daripadanya benar-benar berlaku.
Sebelum ini, Jiang juga pernah meramalkan kemenangan semula Presiden Donald Trump pada Pilihan Raya Presiden AS 2024.
Dalam video berjudul 'Trump World Order' dikongsi bekas penuntut Yale College pada 2 April lalu, beliau menjangkakan konflik Washington-Teheran tidak akan berakhir.
"Ramai yang percaya ia sebenarnya baru sahaja bermula. Terdapat khabar angin mendakwa Trump sudah meluluskan pengerahan unit infantri dan kita bakal menyaksikan kempen pencerobohan darat ke atas Iran dalam masa terdekat," ujarnya.
Menurutnya, ketika ini AS mempunyai kira-kira 50,000 anggota tentera di Asia Barat dan bentuk muka bumi Teheran mungkin akan menyukarkan operasi mereka.
Jiang turut menjelaskan teori perang beliau menggunakan peta yang dijangka akan mencetuskan konflik lebih berdarah dan dahsyat berbanding perang di Afghanistan.
"Iran mempunyai kelebihan kerana keadaan geografi mereka yang bergunung-ganang selain mempunyai gurun tandus.
"Strategi perang Amerika pastinya bercelaru. Kita boleh lihat, Washington sebenarnya merancang perang yang panjang ke atas Teheran
"Apa yang pasti mereka mahu mengawal Selat Hormuz terlebih dahulu untuk memberi tekanan kepada ekonomi global," jelasnya yang meramalkan perkara itu beberapa hari sebelum langkah sekatan ke atas pelabuhan Iran itu diumumkan Trump.
Ketika merujuk kepada ramalannya sebelum ini, Jiang percaya AS akan meneruskan operasi darat dan mereka akan kalah dalam peperangan tersebut kerana memandang rendah keupayaan perang gerila Iran.
Jiang kemudiannya menerangkan bahawa perang berskala penuh di Asia Barat berpotensi menyebabkan kejatuhan eksport minyak bagi negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), sekali gus meningkatkan kebergantungan dunia terhadap minyak dan sumber lain dari Amerika Utara.
Hal ini kerana Kanada memiliki sumber minyak yang besar manakala Venezuela mempunyai rizab minyak terbesar dunia. Rusia juga memiliki sumber minyak yang banyak.
Pendidik warga China-Kanada itu merumuskan secara ringkas, 'dengan kata lain, AS memulakan 'perang bodoh' di Asia Barat yang pastinya akan berdepan kekalahan memalukan, tetapi masih mendapat manfaat besar daripada kekacauan yang berlaku di seluruh dunia. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

