Masa untuk bertindak tegas

Penguatkuasa secara berkala boleh dilakukan dalam mengekang pemandu mabuk di atas jalan. Gambar kecil: Farah Shazwani Ali
Penguatkuasa secara berkala boleh dilakukan dalam mengekang pemandu mabuk di atas jalan. Gambar kecil: Farah Shazwani Ali
A
A
A

PENINGKATAN kes kemalangan melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah kini semakin membimbangkan, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada undang-undang sedia ada mencukupi untuk mengekangnya.

Kes kemalangan maut di Klang yang meragut nyawa seorang penunggang motosikal menjadi bukti jelas isu ini masih belum menemui jalan penyelesaian.

Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas sebuah kenderaan lain, sebelum disahkan meninggal dunia.

Ia sekali gus menimbulkan kemarahan orang ramai terhadap sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu. Hakikatnya, kes seumpama ini bukan lagi terpencil.

Beberapa tahun kebelakangan ini, pelbagai insiden membabitkan pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah yang bukan sahaja mencederakan, malah meragut nyawa.

Situasi ini memperlihatkan satu corak membimbangkan iaitu pemandu yang sedar risiko tetap memilih memandu dalam keadaan tidak waras, seolah-olah memandang ringan implikasi undang-undang dan keselamatan awam.

Langkah Kementerian Pengangkutan merangka pindaan lanjut terhadap Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dilihat sebagai tepat pada masanya.

Menterinya, Anthony Loke berkata, cadangan mewajibkan pesalah membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa merupakan satu pendekatan lebih menyeluruh, bukan sahaja menghukum tetapi turut menekankan elemen keadilan sosial.

Ketika ini, hukuman sedia ada memperuntukkan penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan menyebabkan kematian. Bagi kesalahan berulang, hukuman boleh mencecah penjara 20 tahun dan denda RM150,000.

Artikel Berkaitan:

Namun, persoalannya, adakah hukuman ini benar-benar memberi kesan pencegahan?

Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Rozmi Ismail berpandangan kesalahan itu wajar dipertimbangkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh.

Menurutnya, tindakan memandu dalam keadaan mabuk walaupun mengetahui risikonya boleh ditafsirkan satu bentuk kecuaian melampau menghampiri elemen niat. Jika dibandingkan negara lain, pendekatan Malaysia masih boleh diperkasakan.

Kanada misalnya memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup bagi kes kematian akibat pemanduan mabuk manakala pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan boleh dipenjara sehingga 14 tahun.

Di United Kingdom, hukuman bagi pemandu yang menyebabkan kematian disebabkan kecuaian ketika berada di bawah pengaruh alkohol adalah dipenjara selama 14 tahun dengan denda tanpa had serta digantung lesen memandu selama dua tahun.

Kabinet Taiwan pula meluluskan satu pindaan terhadap kanun keseksaan yang menjadikan kesalahan menyebabkan kematian ketika memandu dalam keadaan mabuk sebagai kesalahan membunuh dan sekiranya pesalah berniat menyebabkan kematian, dia boleh dihukum mati.

Menerusi pelaksanaan hukuman sedemikian, barulah pesalah yang menyebabkan kemalangan maut ketika memandu dalam keadaan mabuk menganggap perkara berkenaan sebagai satu kes yang serius.

Selain aspek hukuman, pendekatan pencegahan melalui teknologi dan penguatkuasaan perlu diperkasakan.

Kerajaan juga boleh mempertimbangkan cadangan mengawal akses terhadap alkohol.

Eksekutif Strategi Institut Strategik & Integriti Terengganu (TSIS), Eikhwan Ali misalnya menegaskan, kegagalan mengawal akses terhadap alkohol menjadi faktor utama yang memburukkan keadaan.

Justeru, kerajaan boleh melihat kepada cadangan-cadangan yang dikemukan bagi menambah baik sistem dan undang-undang sedia ada.

Tanpa perubahan drastik, tidak mustahil lebih banyak nyawa tidak berdosa akan terus menjadi korban di jalan raya.

* Farah Shazwani Ali ialah wartawan Sinar Harian

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!