KPDNHEP Gua Musang pantau peniaga naik harga barang

Pejabat KPDNHEP Gua Musang sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa.
Pejabat KPDNHEP Gua Musang sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa.
A
A
A

GUA MUSANG - Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Gua Musang menjalankan pemeriksaan setiap hari di premis-premis perniagaan di daerah tersebut bagi memastikan barangan keperluan asas mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, KPDNHEP Cawangan Gua Musang, Mohd Koma Shapii berkata, langkah tersebut juga penting untuk mengawal harga barangan supaya tidak dinaikkan sesuka hati oleh peniaga yang tamak.

"Peranan penguatkuasa juga dibantu oleh Pegawai Pemantau Harga (PPH) bagi mendapatkan data serta maklumat harga barangan tertentu di premis terpilih seluruh daerah dalam memantau trend harga barangan di pasaran.

"Hasil pemeriksaan sepanjang tempoh PKP, bekalan barang keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, tepung gandum, telur dan roti masih mencukupi dan tidak berlaku gangguan bekalan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bekalan makanan di Gua Musang masih mencukupi.
Bekalan makanan di Gua Musang masih mencukupi.

Menurutnya, aliran rantaian barangan sentiasa dipantau di semua peringkat iaitu dari pembungkus, pemborong, pasar raya, pasar basah dan peruncit dengan kaedah pemeriksaan dari premis ke premis.

Beliau berkata, pengguna dinasihatkan tidak membuat pembelian panik dan menyimpan stok yang banyak di rumah termasuk individu yang tinggal berseorangan.

"Mana-mana agensi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dinasihatkan tidak membuat pembelian dalam kuantiti besar untuk tujuan tertentu kerana ia mengganggu bekalan di pasaran sedia ada dan menjejaskan pengguna lain untuk mendapatkan barang keperluan.

Artikel Berkaitan:

"Jika ada pihak NGO yang ingin mendapatkan bekalan secara pukal khususnya melibatkan barang kawalan, boleh berhubung terus dengan pihak KPDNHEP cawangan untuk bantuan penyelarasan.

"Keseluruhan stok barang keperluan asas di semua premis tumpuan di daerah Gua Musang dalam keadaan normal dan tiada gangguan bekalan setakat ini.

"Sebarang aduan dan pertanyaan dalam tempoh PKP, pengguna boleh menghubungi terus Bilik Gerakan KPDNHEP Gua Musang di talian 09 9120020 dari jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari termasuk hari minggu," katanya.