Rutin unik pesara label barang tarik perhatian warga maya

SHAH ALAM – Seorang wanita dikenali sebagai Shuhada Sukri mencuri perhatian warga maya apabila berkongsi rutin unik bapa mentuanya yang gemar melabel hampir setiap barangan di rumah.
Menerusi perkongsian di akaun Threads miliknya, Shuhada berkata, amalan itu turut disahkan suaminya yang memaklumkan bapanya merupakan seorang pesara pembantu tadbir, sekali gus menjelaskan sikap teliti yang diamalkan sejak dahulu lagi.
“Rumah abah mertua saya, semua benda dalam rumah ada label dan tarikh, senang untuk menjejak semua barangan,” ujarnya.
Menurutnya, bapa mentuanya sangat sistematik apabila semua barangan termasuk bekas simpanan, tarikh pembelian serta jadual servis dilabel dengan kemas.
Menariknya, terdapat juga label yang ditulis dalam 'bahasa Inggeris versi Melayu' sehingga mencuit hati kerana agak sukar difahami.
Namun begitu, sikap teliti itu sebenarnya banyak memudahkan urusan harian.
Malah, seorang juruteknik pendingin hawa turut memuji usaha berkenaan kerana memudahkannya mengenal pasti tarikh servis terakhir hanya melalui label yang ditampal.
Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi warga maya yang rata-rata terhibur selain memuji sikap teliti pesara berkenaan.
Malah, ada yang mengaitkan tindakan sebegitu dengan amalan dalam Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).
Bukan itu sahaja, ada yang turut berkongsi pengalaman sendiri mempunyai ahli keluarga yang melakukan perkara sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

