[VIDEO] 'Saya mahu beri kesenangan pada emak, ayah OKU dan nenek pejuang kanser' - Anak asnaf cemerlang SPM
PORT DICKSON - Ujian demi ujian yang menimpa keluarganya sejak kecil tidak pernah mematahkan semangat Mohamad Shaqir Azani Mohamad Shahir, 18, untuk mengubah nasib hidupnya dengan belajar bersungguh-sungguh bagi memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Berkat kesungguhan anak kategori asnaf ini, dia berjaya memperoleh keputusan 6A+, 1A dan 2A-, sekaligus menjadi hadiah paling teristimewa buat ibu serta bapanya yang merupakan seorang orang kurang upaya (OKU) dan neneknya yang kini bertarung dengan tiga jenis kanser.
Menurutnya, yang mesra dipanggil Shaqir, bukan mudah baginya sampai ke tahap ini kerana perjalanan hidupnya agak berliku, tidak sama seperti rakan-rakan lain.

"Ketika saya berusia dua tahun, ayah diuji dengan masalah kesihatan apabila secara tiba-tiba tidak boleh berjalan dan sehingga kini terpaksa bergerak menggunakan lutut.
"Kemudiannya, ketika saya berusia enam tahun, ayah terpaksa mengambil keputusan berat berpisah dengan ibu dan sejak itu saya dijaga bergilir-gilir oleh mereka," katanya ditemui di rumahnya di Taman Ria di sini pada Khamis.
Ujian hidupnya tidak terhenti setakat itu apabila beberapa tahun kemudian, neneknya pula disahkan mengidap kanser rahim sebelum disahkan pula menghidap kanser payudara dan kini dimaklumkan menghidap satu lagi jenis kanser.
Tambahnya, dalam tempoh tersebut, datuknya pula meninggal dunia dan sejak itu menjadi tanggungjawabnya membantu mereka menguruskan serba-serbi.
"Walaupun emak dan ayah sudah berpisah, tetapi sehingga sekarang emak masih membantu ayah termasuklah menguruskan nenek ke hospital.
"Kadang-kadang, kalau emak bekerja, saya terpaksa minta cuti untuk bawa nenek buat rawatan susulan sama ada di Institut Kanser Negara atau Hospital Tuanku Jaafar," katanya yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Samad di sini.
Dia mengakui tanggungjawab itu agak berat baginya, ditambah pula perlu fokus menghadapi peperiksaan SPM.
Malah, dia juga tidak menyangka mampu memperoleh keputusan tersebut meskipun ketika peperiksaan percubaan, dia mendapat 8A, 1B.
"Kesukaran nak belajar itu memang ada, kadang-kadang tengah ulang kaji pelajaran, saya perlu bantu uruskan nenek. Nak harapkan ayah, dia pun tidak kuat. Itu bukan bermaksud nenek itu menyusahkan saya, tapi itulah antara cabaran yang saya lalui. Kalau tidak sempat siapkan kerja sekolah, saya akan buat keesokan paginya di kantin sekolah," katanya.

Oleh sebab itulah, kata Shaqir, menjadi tekadnya sejak di sekolah rendah untuk berjaya dalam pelajaran kerana tidak mahu berterusan mengharapkan ihsan orang, selain mahu memberi kesenangan hidup kepada ibu bapa serta neneknya.
Ujarnya, dia bersyukur kerana bapanya menerima bantuan bulanan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), malah ibunya, Nooraini Mohd Ramlan, 40, yang tinggal di kawasan perumahan berhampiran turut banyak membantu.
"Kami bukan keluarga yang senang dan saya berhasrat menyambung pengajian dalam pengajian Islam serta bercita-cita menjadi seorang guru. Kalau boleh, saya nak juga sambung pengajian di luar negara, tapi banyak yang perlu saya fikirkan mengenang keadaan ayah dan nenek," ujarnya.
Sementara itu, Mohamad Shahir memberitahu, dia sememangnya sudah menjangkakan anaknya boleh berjaya apabila melihat kesungguhannya belajar.
"Sejak kecil lagi, kalau bawa dia ke pasar raya, dia akan cari buku atau peralatan untuk belajar. Saya selalu berpesan dengan dia belajar bersungguh-sungguh, jangan lupa diri dan sentiasa ingat orang OKU seperti saya ini kerana saya sentiasa mendoakannya dari jauh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

