Apa salahnya masuk Tingkatan Enam

PADA Selasa lalu, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diumumkan dengan seramai 13,779 calon atau 3.55 peratus daripada 395,740 calon memperoleh keputusan cemerlang semua A.
Dalam sidang akhbar Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM Tahun 2025 itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, seramai 376 calon meraih gred A+ bagi semua mata pelajaran, meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Di sebalik angka membanggakan itu, masih ramai lepasan SPM mungkin berada di persimpangan untuk menentukan hala tuju seterusnya sama ada ke matrikulasi, politeknik, diploma atau Tingkatan Enam.
Realitinya, ramai pelajar lebih cenderung memilih laluan yang dianggap ‘popular’ kerana dilihat lebih cepat dan praktikal, manakala Tingkatan Enam tidak menjadi pilihan dan dipandang serong.
Kira-kira 20 tahun lalu, penulis pernah mempunyai tanggapan serupa sebelum masuk ke Tingkatan Enam, apatah lagi apabila masih perlu memakai pakaian sekolah.
Berasal dari Alor Setar, penulis membuat keputusan memohon ke Sekolah Menengah Teknik Pendang (STEP) di Pokok Tai, Pendang demi mengejar cita-cita seperti wartawan, pereka fesyen, pakar forensik hingga ahli arkeologi.
Subjek seperti Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi diambil dengan harapan keputusan cemerlang mampu membuka laluan ke masa depan yang diimpikan.
Bagaimanapun, apabila keputusan SPM 2006 penulis tidak seperti diharapkan, pilihan akhirnya menjadi terhad antara menerima tawaran masuk ke Tingkatan Enam atau mengikuti Diploma Teknologi Makanan di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.
Walaupun kedua-duanya bukan bidang diminati dan lokasi politeknik pula amatlah jauh, hasrat untuk menyambung pengajian tetap kuat. Akhirnya, Tingkatan Enam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma dipilih walaupun dalam keadaan ‘paksa rela’.
Tanpa disedari, keputusan itu menjadi titik perubahan apabila dapat menyambung pelajaran dalam Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kewartawanan) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan akhirnya menjadi wartawan.
Sistem Tingkatan Enam hari ini telah banyak berubah tidak lagi berorientasikan peperiksaan semata-mata, sebaliknya menggabungkan elemen kerja kursus, penilaian berterusan serta pendekatan pembelajaran menyerupai suasana universiti.
Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dan setaraf A-Level, sekali gus membuka peluang melanjutkan pengajian ke universiti dalam dan luar negara.
Tidak salah memilih mana-mana laluan selepas SPM, sama ada matrikulasi, diploma atau politeknik, tetapi Tingkatan Enam juga wajar dilihat pilihan setara dan berpotensi.
Bagaimanapun, apa jua keputusan yang diterima, ia bukanlah titik penamat, sebaliknya permulaan kepada perjalanan baharu.
Sekiranya tidak berjaya memasuki mana-mana institusi sekalipun, itu bukan bermakna jalan sudah tertutup. Masih banyak ruang untuk memperkasa diri, termasuk mengikuti kursus kemahiran, latihan teknikal atau program jangka pendek ditawarkan agensi dan institusi.
Jangan menganggap pelajaran tidak penting atau mudah terpengaruh dengan gambaran kejayaan segera dipaparkan segelintir individu di media sosial, kerana ilmu dalam apa jua bentuk tetap menjadi asas untuk membina masa depan yang lebih baik.
* Nurul Hidayah Hamid ialah wartawan Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

