Kajian kereta kabel Gunung Kinabalu: Tiada kompromi syarat Tapak Warisan Dunia - Masidi

Sebarang cadangan pembangunan melibatkan kawasan Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dan menyeluruh. Gambar hiasan
Sebarang cadangan pembangunan melibatkan kawasan Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dan menyeluruh. Gambar hiasan
A
A
A

RANAU - Tiada sebarang kompromi terhadap syarat-syarat bagi mengekalkan status Gunung Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia, meskipun terdapat cadangan pembinaan kereta kabel yang masih dalam peringkat kajian ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebarang pembangunan di kawasan tersebut perlu mengambil kira kepentingan pemeliharaan alam semula jadi serta nilai warisan yang dimiliki gunung berkenaan.

Masidi yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, cadangan pembinaan kereta kabel tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut komersial, sebaliknya perlu dinilai secara menyeluruh termasuk impaknya terhadap status Tapak Warisan Dunia.

"Kereta kabel itu adalah satu pertimbangan dari sudut perniagaan. Namun, kita tidak boleh lupa bahawa Gunung Kinabalu merupakan Tapak Warisan Dunia.

"Status itu datang dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi dan pada pandangan saya, tidak boleh ada kompromi terhadap syarat-syarat tersebut," katanya ketika ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Kesyukuran Hari Raya Aidilfitri di Dewan Masyarakat Ranau, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian diminta mengulas kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafri Ariffin yang menegaskan bahawa sebarang cadangan pembangunan melibatkan kawasan Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dan menyeluruh dengan memberi keutamaan kepada prinsip kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan warisan semula jadi negeri.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, kajian berhubung cadangan projek itu masih dijalankan bagi menilai tahap kebolehlaksanaan serta kesannya terhadap kawasan sekitar.

Tegasnya, keutamaan kerajaan adalah memastikan sebarang pembangunan tidak menjejaskan nilai warisan yang menjadi kebanggaan negeri.

"Ketika ini kajian sedang dijalankan untuk melihat sama ada projek itu berdaya maju atau tidak. Ia bukan sekadar soal wang atau pendapatan semata-mata.

Artikel Berkaitan:

"Yang lebih penting ialah memastikan Tapak Warisan Dunia yang kita miliki di Sabah tidak terjejas oleh sebarang pembangunan baharu di sekitar gunung tersebut," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap pandangan Menteri KEPKAS yang menekankan kepentingan memelihara alam semula jadi dalam sebarang perancangan pembangunan.

"Beliau (Jafry) memang tepat. Itulah pendekatan yang sepatutnya diambil. Dunia ini bukan hanya tentang wang, ada perkara yang lebih penting daripada keuntungan semata-mata.

"Gunung Kinabalu sangat signifikan kepada Sabah dan di mana-mana pun ia dianggap sebagai simbol negeri ini, justeru ia perlu terus dipelihara," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan kemungkinan pembinaan kereta kabel di kawasan Gunung Kinabalu yang merupakan Tapak Warisan Dunia, dengan ketinggian 4,095 meter dari aras laut serta antara puncak tertinggi di Asia Tenggara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!