Senegal larang menteri ke luar negara susulan kenaikan harga minyak global

Peningkatan harga bahan api global kini memberi tekanan terhadap kedudukan kewangan kerajaan Senegal. Foto: AFP
Peningkatan harga bahan api global kini memberi tekanan terhadap kedudukan kewangan kerajaan Senegal. Foto: AFP
A
A
A

DAKAR – Kerajaan Senegal mengumumkan larangan ke atas semua perjalanan luar negara yang tidak penting melibatkan menterinya susulan kenaikan harga minyak global akibat konflik di Iran, lapor BBC.

Perdana Menteri, Ousmane Sonko berkata, harga semasa minyak mentah kini menghampiri dua kali ganda berbanding anggaran dalam belanjawan negara.

Menurut Ousmane, beliau sendiri menangguhkan lawatan rasmi ke Sepanyol dan Perancis sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan tersebut.

"Langkah tambahan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan akan diumumkan oleh Menteri Perlombongan dalam masa terdekat,” katanya ketika berucap dalam satu perhimpunan belia, Jumaat lalu.

Tindakan Senegal itu merupakan antara respons terbaharu negara di benua Afrika terhadap kenaikan harga minyak global, yang menyaksikan beberapa negara mengambil langkah seperti mengurangkan cukai bahan api dan melaksanakan catuan elektrik.

Walaupun memiliki industri minyak dan gas yang sedang berkembang, Senegal masih bergantung besar kepada import bahan api.

Di negara lain di Afrika, Afrika Selatan bertindak mengurangkan cukai petrol bagi mengekang kenaikan harga di stesen minyak.

Sementara itu, kekurangan bahan api di Ethiopia memaksa beberapa agensi kerajaan menghantar kakitangan bercuti, manakala Sudan Selatan mula mencatu bekalan elektrik di ibu negaranya, Juba.

Zimbabwe pula meningkatkan kandungan etanol dalam petrol.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berkaitan, penutupan efektif Selat Hormuz di Teluk Parsi susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran turut menjejaskan bekalan baja global, dengan kira-kira 30 peratus daripada bahan penting itu melalui laluan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!