Dendam tidak diakui sebagai anak, lelaki bunuh bapa kandung

Kedua-dua suspek kini sudah ditahan polis. Foto Agensi
Kedua-dua suspek kini sudah ditahan polis. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Seorang lelaki berusia 35 tahun, dikenali sebagai SS, ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian pembunuhan ayah kandungnya, ID, 61 tahun, yang dipercayai berpunca daripada dendam kerana tidak diakui sebagai anak.

Ketua Polis Daerah Bulukumba, AKBP Restu Wijayanto, memaklumkan bahawa mayat mangsa ditemui dalam keadaan menyayat hati di sebuah pondok simpanan rumpai laut miliknya di Kelurahan Mariorennu, Daerah Gantarang.

“Mangsa mengalami kecederaan serius pada leher dan perut akibat diserang dengan senjata tajam,” jelas beliau pada Rabu (1 April 2026).

Kejadian terbongkar selepas mangsa dilaporkan hilang selama tiga hari.

Anak mangsa, MF, melakukan pencarian sebelum menemui mayat bapanya pada Isnin (30 Mac) di lokasi kejadian.

Polis segera menjalankan siasatan di tempat kejadian, membawa mayat mangsa ke hospital, serta mengambil keterangan saksi bagi membongkar kes tersebut.

Hasil siasatan mengenal pasti dua suspek, iaitu SS dan seorang jiran berusia 72 tahun, ML.

Kedua-duanya diperiksa secara intensif sebelum mengaku terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Menurut polis, pembunuhan ini telah dirancang terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Suspek dikatakan merancang perbuatan itu pada malam Sabtu (28 Mac) dan melaksanakannya pada awal pagi Ahad (29 Mac) ketika mangsa sedang tidur di dalam pondok simpanan.

Suspek ML bertindak menyerang mangsa menggunakan parang, manakala SS turut menyerang sehingga menyebabkan kecederaan parah.

“Motif pembunuhan ini berpunca daripada dendam. ML mempunyai konflik lama dengan mangsa, manakala SS berasa kecewa kerana tidak diakui sebagai anak,” tegas Wijayanto.

Kini, SS dan ML ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bulukumba dan didakwa mengikut peruntukan undang-undang berkaitan pembunuhan terancang, yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 20 tahun. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!