Kementerian Pendidikan janji betulkan kandungan buku teks

Paparan skrin kenyataan Nie Ching di laman sosial Facebook miliknya.
Paparan skrin kenyataan Nie Ching di laman sosial Facebook miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan berjanji memperbetulkan kandungan buku teks Pendidikan Kesihatan tahun 3 yang didakwa mewajarkan tindakan “menyalahkan gadis sebagai mangsa” dalam kes gangguan dan penderaan seksual.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching merujuk muka surat dalam buku teks itu yang menunjukkan ibu bapa kepada watak rekaan, Amira, menasihatkan anak perempuan mereka “cara menjaga kehormatan anggota seksual (bahagian sulit)” dan “menyelamatkan maruahnya” menerusi 3 cara.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ibu bapa yang mengutarakan perkara ini untuk perhatian saya.

“Mangsa tidak sepatutnya dipersalahkan. Tindakan susulan untuk membetulkan perkara ini akan diambil secepat mungkin.

“Diharap sama-sama kita boleh memberikan pendidikan yang betul-betul kepada anak-anak kita,” tulis Nie Ching di Facebooknya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh turut bersetuju agar kandungan ini disemak semula.

Terdahulu, Ketua Pengarah Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib yang memuat naik paparan skrin muka surat itu ke Twitternya pagi tadi berkata, ia mewajarkan tindakan “menyalahkan gadis sebagai mangsa”.

Catatan itu mendapat reaksi pengguna media sosial dengan ada yang berkata, kandungan buku teks itu akan menyebabkan kanak-kanak takut melaporkan sebarang gangguan atau penderaan seksual dihadapi mereka.

Artikel Berkaitan: