Diuji nahas ngeri, ibu tunggal syukur terima Rumah Kasih Ihsan

SETIU – "ALLAH SWT memberi ujian, tetapi saya bersyukur dalam keperitan ujian ini, Dia juga mengurniakan rezeki buat kami sekeluarga."
Demikian luahan Zubaidah Che Mah, 36, seorang ibu tunggal yang kini mampu menarik nafas lega apabila impian memiliki kediaman sendiri akhirnya menjadi kenyataan menerusi program Rumah Kasih Ihsan.
Bagi Zubaidah, penyerahan kunci rumah kategori bina baharu itu bukan sekadar bantuan fizikal, malah ia merupakan sinar baharu selepas dia diuji dengan kemalangan ngeri yang mengakibatkan dirinya hilang punca pendapatan.
Menceritakan semula detik hitam pada 7 Mac lalu, Zubaidah yang bekerja sebagai pembekal benih anak ikan terlibat dalam nahas di Jalan Pelong selepas terlelap ketika dalam perjalanan pulang dari Tok Jiring, Kuala Nerus.
"Sedalam 10 meter kenderaan yang saya pandu terjunam. Waktu itu saya tidak sedar apa-apa kerana mungkin juga pengsan. Saya terjaga selepas terdengar suara anak bongsu menangis ketakutan.
"Dalam kemalangan itu, kaki kanan saya cedera serius dan bahu kiri patah, manakala anak perempuan saya yang berumur 11 tahun juga patah paha kanan," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan rumah tersebut di Kampung Batu 29, Permaisuri di sini pada Rabu.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu, Azhar Abdul Hamid serta pemimpin setempat.
Zubaidah yang menanggung lima anak kini terpaksa bergantung harap kepada saudara-mara untuk menguruskan diri serta persekolahan lima orang anaknya termasuk seorang anak angkat, mengakui sangat terharu dengan keprihatinan pihak kerajaan.
"Saya mohon rumah ini dua tahun lepas dan baru tahu berjaya mendapatnya tiga bulan lepas. Inilah bantuan pertama yang saya terima dan saya telah masuk ke rumah ini pada Ramadan lalu.
"Memang bantuan ini sangat meringankan beban dalam keadaan saya yang tidak boleh bekerja sekarang. Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas sumbangan ini," katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri (ICU JPM) Terengganu, Datuk Abdul Kahar Abdul Latif berkata, pihaknya komited memastikan golongan sasar seperti Zubaidah tidak tercicir daripada menerima bantuan.
Jelas beliau, penyerahan rumah dengan kos pembinaan RM80,000 tersebut merupakan agenda utama Kerajaan Madani dalam membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.
"Kita akan terus bekerjasama dengan agensi strategik seperti JKM, MAIDAM dan Pejabat Daerah bagi memastikan kebajikan Zubaidah sekeluarga terus terjaga, terutama melibatkan keperluan pendidikan anak-anaknya," ujarnya.
Program Rumah Kasih Ihsan merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan bagi menyediakan kediaman yang lebih selesa, selamat dan stabil untuk rakyat yang memerlukan bagi membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Ringkasan AI
- Zubaidah Che Mah bersyukur kerana memperoleh rumah melalui program Rumah Kasih Ihsan.
- Dia mengalami kemalangan serius yang menyebabkan hilang punca pendapatan.
- Rumah tersebut merupakan bantuan pertama yang diterima dan meringankan bebannya.
- Kerajaan komited memastikan golongan sasar seperti Zubaidah tidak tercicir.
- Program Rumah Kasih Ihsan bertujuan menyediakan kediaman kepada rakyat miskin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

