Polis belum terima notis himpunan Tangkap Azam Baki

KUALA LUMPUR – Polis masih belum menerima sebarang notis pemakluman berhubung penganjuran himpunan oleh Sekretariat Tangkap Azam Baki yang akan berlangsung pada 25 April ini di Dataran Merdeka.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang serta tidak menyalahgunakan platform berhimpun sehingga menjejaskan ketenteraman awam.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang boleh mengganggu keamanan atau mengancam keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pada Isnin, Sekretariat Tangkap Azam Baki mengumumkan bahawa mereka akan mengadakan himpunan itu bagi mendesak siasatan telus terhadap isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta dakwaan mafia korporat dalam agensi penguatkuasaan.
Sekretariat itu menegaskan bahawa kedua-dua isu berkenaan masih belum dijelaskan secara tuntas, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap integriti SPRM dan institusi penguatkuasaan negara.
Ringkasan AI
- Polis belum terima notis mengenai himpunan Sekretariat Tangkap Azam Baki.
- Ketua Polis nasihat orang ramai patuhi undang-undang dan elakkan ganggu keamanan.
- Orang ramai diberi amaran supaya tidak terlibat dalam aktiviti ancam keselamatan.
- Sekretariat tuntut siasatan telus isu saham Azam Baki dan dakwaan mafia korporat.
- Kebimbangan timbul mengenai integriti SPRM dan institusi penguatkuasaan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
