Calon SPM Kelantan layak terima sijil meningkat, nilai GPN makin baik

KOTA BHARU - Bilangan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 negeri Kelantan yang layak menerima penganugerahan sijil meningkat tahun ini sekali gus menunjukkan pencapaian akademik yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, daripada 20,387 calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia yang menduduki peperiksaan, seramai 19,727 calon atau 96.27 peratus layak dianugerahkan sijil SPM, meningkat berbanding 95.99 peratus pada 2024.
“Keputusan ini mencerminkan usaha berterusan KPM serta sokongan guru-guru dan ibu bapa dalam memastikan calon SPM negeri Kelantan mencapai prestasi optimum,” katanya ketika pengumuman rasmi keputusan SPM 2025 di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, JPN Kelantan, di sini pada Selasa.
Beliau juga memaklumkan bahawa nilai Gred Purata Negeri (GPN) Kelantan menunjukkan peningkatan pada 4.60 berbanding 4.62 pada tahun 2024.
“Secara keseluruhan, pencapaian calon kita lebih baik dan jurang antara bandar dan luar bandar juga semakin mengecil,” katanya.
Bagi calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK), seramai 128 orang menduduki peperiksaan, dengan 99 calon atau 77.34 peratus layak dianugerahkan sijil SPM, meningkat berbanding 73.47 peratus pada dua tahun sebelumnya.
Siti Norina menegaskan bahawa prestasi mata pelajaran turut menunjukkan perkembangan positif.
Daripada tujuh mata pelajaran teras, tiga menunjukkan peningkatan, manakala mata pelajaran Pendidikan Islam mencatat prestasi terbaik dengan peningkatan 0.92 mata, daripada 4.09 pada 2024 kepada 3.17 pada 2025.
Bagi mata pelajaran elektif STEM dan Kemanusiaan, beberapa mata pelajaran juga mencatat peningkatan prestasi, termasuk mata pelajaran Kesusasteraan Inggeris dengan kenaikan 2.25 mata, manakala mata pelajaran Maharat Al-Quran menunjukkan peningkatan tertinggi di kalangan mata pelajaran pengajian Islam, iaitu 1.29 mata.
“Prestasi ini bukan sahaja mencerminkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di sekolah malah menunjukkan bahawa sistem pendidikan kita berdaya saing dan inklusif,” katanya.
Ringkasan AI
- Bilangan calon SPM 2025 di Kelantan yang layak menerima sijil meningkat kepada 96.27 peratus.
- Nilai Gred Purata Negeri Kelantan meningkat kepada 4.60.
- Prestasi kelompok bandar dan luar bandar semakin setara.
- Seramai 99 calon CBPK layak menerima sijil, peningkatan daripada sebelum ini.
- Prestasi subjek teras dan elektif menunjukkan kenaikan, dengan Pendidikan Islam mencatat prestasi terbaik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

