Gadis penghantar makanan mudahkan urusan pembelian semasa PKP

Zaty juga menggunakan kereta jika kawasan yang hendak dihantar melibatkan luar daerah Kota Bharu.
Zaty juga menggunakan kereta jika kawasan yang hendak dihantar melibatkan luar daerah Kota Bharu.
A
A
A
KOTA BHARU – Walaupun perkhidmatan penghantar makanan atau barangan sering dilakukan kaum lelaki, namun tidak menghalang seorang gadis menceburi bidang tersebut sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Nur Izzati Suhaibi atau lebih dikenali sebagai Zaty tidak pernah malu untuk menceburi bidang tersebut malah tekad membantu orang ramai yang memerlukan perkhidmatan pembelian dan penghantaran barangan keperluan makanan seperti ikan, ayam, beras, sayur-sayuran dan lain-lain terutama dalam tempoh PKP.

Gadis berusia 30 tahun berasal dari Lundang ini hanya mengambil upah minima RM1.50 hingga RM2 setiap satu kilometer untuk perkhidmatan pembelian dan penghantaran barangan yang dipesan pelanggan.

“Memang kerajaan beri kebenaran untuk kaum lelaki sahaja keluar membeli makanan. Ada sesetengah wanita, banyak mana sekali pun suami mereka beli, dia tetap tidak berpuas hati dan cuba untuk beli sendiri.

“Kebanyakan pelanggan saya terdiri daripada mereka yang terpaksa bekerja semasa PKP ini. Jadi mereka tidak ada masa yang cukup untuk keluar beli barangan basah. Mereka akan telefon saya, senaraikan semua, kemudian saya hantar ke rumah terus.

“Ada juga suami isteri yang langsung tidak keluar rumah,100 peratus bergantung kepada saya," katanya kepada Sinar Harian.

Zaty berkata, dia merasakan tanggungjawabnya besar untuk membantu orang ramai yang tidak dapat keluar membeli barangan keperluan semasa PKP.

Anak sulung dari enam adik beradik itu juga memberitahu, pelbagai perasaan timbul semasa mula-mula membuat keputusan untuk menceburi bidang tersebut, terutamanya apabila memikirkan risiko kesihatan dan keselamatan sepanjang menjalankan tugas dalam tempoh PKP.

Namun Zaty berkata, berkat kesungguhan dan tawakal kepada ALLAH, dia tetap nekad untuk melaksanakannya dengan sentiasa memakai topeng muka, sarung tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman sepanjang masa.
Artikel Berkaitan:


Zaty berkata, dia memasang impian untuk memiliki perniagaan sendiri suatu hari nanti memandangkan ketika ini hanya menjadi perantara penjual dan pembeli

“Buat masa sekarang ini saya tolong kawan. Insya-ALLAH kalau ada rezeki lebih, saya cuba buat sendiri nanti.

"Apa yang penting, kita bermula dari bawah. Saya tidak pernah malu dengan apa yang saya lakukan. Dengan rezeki yang ada ini bolehlah saya bantu mak ayah sedikit.

“Kita kena kuat, zaman sekarang tidak boleh memilih pekerjaan. Jangan bergantung harap kepada orang lain atau menanti mana-mana bantuan," katanya.