Rampasan petrol, diesel lebih RM32 juta sejak 2024

Shamsul Nizam (dua dari kanan) semasa membuat pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan asing di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada Ahad.
Shamsul Nizam (dua dari kanan) semasa membuat pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan asing di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada Ahad.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya membanteras ketirisan, penyelewengan dan penyeludupan petrol serta diesel sejak awal 2024 dengan jumlah rampasan melebihi RM32 juta sehingga 27 Mac.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa (Operasi) KPDN, Shamsul Nizam Khalil berkata, melalui Ops Tiris 3.0 yang bermula 1 Januari 2024, sebanyak 38,615 pemeriksaan telah dijalankan.

Menurutnya, ops tersebut membabitkan 1,371 kes dengan tangkapan sebanyak 667 individu.

"Jumlah rampasan bagi pelbagai barang kawalan termasuk petrol dan diesel dalam tempoh itu adalah sebanyak RM32,086,839.88, dengan nilai keseluruhan rampasan sepanjang tempoh operasi mencapai RM146,015,771," katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di sini.

Jelas Shamsul Nizam, operasi itu dilaksanakan secara kolaborasi strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Menurutnya, langkah penguatkuasaan ini merangkumi pemeriksaan ketat di semua pintu sempadan, stesen minyak, pemborong serta pemantauan intensif di kawasan tumpuan bagi memastikan subsidi bahan api tidak disalahgunakan oleh individu atau sindiket.

"KPDN ingin memberikan amaran keras kepada mana-mana individu mahupun sindiket supaya tidak mengambil kesempatan dalam situasi konflik global ketika ini.

"Perbuatan menyeleweng subsidi negara adalah satu bentuk pengkhianatan kepada tanah air," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Shamsul Nizam (kiri) semasa membuat tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada Ahad.
Shamsul Nizam (kiri) semasa membuat tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, KPDN turut memberikan amaran tegas terhadap mana-mana pihak agar tidak menyalahgunakan kad subsidi diesel atau ‘fleet card’ bagi mengaut keuntungan haram.

Menurutnya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan individu mahupun sindiket yang melakukan kesalahan tersebut termasuk menyeludup bahan api itu ke Thailand.

"Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan Program Budi Madani RON95 (Budi95), mahupun ‘fleet card’ ini.

"Operasi bersepadu akan dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti ketirisan iaitu penyeludupan dan penyelewengan bahan api terutama di pintu sempadan negara,” ujarnya.

Tambah beliau, KPDN menyeru seluruh rakyat untuk menyertai gerakan KITA GEMPUR bagi membanteras ketirisan dan manipulasi bahan kawalan.

Ringkasan AI

  • KPDN berjaya merampas lebih RM32 juta petrol dan diesel sejak awal 2024
  • Ops Tiris 3.0 menyaksikan 38,615 pemeriksaan dan 1,371 kes dengan 667 tangkapan
  • Nilai keseluruhan rampasan mencapai RM146,015,771 sehingga Mac 2024
  • Operasi dijalankan bersama PDRM, AKPS, JPJ, JIM dan JKDM
  • KPDN beri amaran keras kepada penyalahgunaan subsidi dan kad subsidi diesel

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!