'Saya tolong orang sebab fardu kifayah' - Sultan Pahang

KUANTAN - “Saya tolong orang sebab fardu kifayah," demikian titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak betah berdiam diri, sebaliknya segera turun dari kenderaan untuk menghulurkan bantuan apabila terserempak dengan mangsa kemalangan.
Sikap prihatin itu bukan sekali dua, malah setiap kali terlihat kemalangan ketika dalam perjalanan, Baginda pasti berhenti dan turun untuk membantu mangsa yang memerlukan pertolongan.
Melalui hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, Al-Sultan Abdullah berkongsi pertemuannya dengan salah seorang mangsa yang pernah dibantu.
"Tadi saya ada jumpa dengan salah seorang mangsa yang pernah dibantu. Ibu atau kakaknya tinggal di Bera. Namanya Faris Farhan, nampak sihat tetapi tangannya masih berbalut.
“Saya ingat bantu angkat dia ke dalam kereta polis dan hantar ke hospital. Masa itu dia menunggang motosikal dan melanggar kereta yang berhenti di tepi jalan, kereta dari Terengganu. Jadi bukan hanya Faris saya hantar ke hospital, malah pemandu kereta itu pun saya bantu ke balai polis untuk membuat laporan.
“Saya tidak tahulah siapa yang salah atau siapa yang betul tetapi jika kita berjumpa orang kemalangan, berhentilah untuk melihat dan membantu kerana itu adalah fardu kifayah untuk sentiasa menolong orang yang dalam kesusahan,” titah Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat ke Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Bera dan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) di Dewan Majlis Daerah Bera pada Sabtu.
Sementara itu, Al-Sultan Abdullah turut bertitah bahawa penganjuran dan kehadiran ke rumah terbuka seharusnya berlangsung dengan niat yang baik.
“Jika kita berniat untuk menganjurkan atau hadir ke rumah terbuka bagi meningkatkan ukhuwah, tanpa berkempen dan memburuk-burukkan orang lain, ia akan menjadi ibadah untuk kita.
“Saya berterima kasih kepada semua pemimpin di setiap peringkat di negeri ini yang telah menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri yang harmoni.
"Sebagai Raja di negeri ini, keharmonian yang saya mahukan dan berharap ia dapat terus dikekalkan sampai bila-bila,” titah Baginda.
Ringkasan AI
- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah membantu mangsa kemalangan kerana fardu kifayah.
- Baginda sering berhenti untuk membantu setiap kali terlihat kemalangan.
- Al-Sultan Abdullah pernah membantu seorang mangsa bernama Faris dan pemandu kereta lain.
- Baginda menekankan kepentingan berhenti untuk membantu orang dalam kesusahan.
- Keamanan dan keharmonian negeri Pahang diharap dapat dikekalkan oleh Baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

