Gerai mercun terbakar: 'Akan ada lagi tangkapan susulan' - Polis

KOTA BHARU – Polis akan menjalankan tangkapan susulan bagi membantu siasatan kejadian kebakaran gerai jualan mercun di Batu 3, Wakaf Che Yeh di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, setakat ini dua wanita ditahan, terdiri daripada penjaga gerai berusia 38 tahun dan pemilik berusia 44 tahun.
“Pemilik premis tersebut ditahan reman selama tiga hari dan kini sudah dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu lalu.
“Siasatan kes masih diteruskan dan pihak polis akan menjalankan tangkapan lain,” katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau menjelaskan bahawa insiden kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas pada sambungan wayar elektrik dari premis kedai makan ke lampu warna-warni di gerai bunga api dan mercun tersebut.
Dalam kejadian terbabit, dua khemah jualan musnah sepenuhnya, manakala beberapa premis berhampiran mengalami kesan bahang dan asap.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai melibatkan api atau bahan mudah terbakar yang boleh membahayakan nyawa atau harta benda.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati apabila mengendalikan bahan mudah terbakar dan mematuhi semua aspek keselamatan,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Polis akan membuat tangkapan susulan untuk siasatan kebakaran di Wakaf Che Yeh
- Dua wanita, penjaga dan pemilik gerai, telah ditahan
- Kejadian kebakaran disyaki berpunca daripada litar pintas sambungan elektrik
- Dua khemah jualan musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut
- Kes disiasat bawah Seksyen 285 Kanun Keseksaan kerana cuai dengan bahan mudah terbakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

