Bau busuk, biawak hurung rangka kanak-kanak lemas

Rangka mayat kanak-kanak lemas ditemukan di tebing Sungai Kampung Sigapon, Keningau.
Rangka mayat kanak-kanak lemas ditemukan di tebing Sungai Kampung Sigapon, Keningau.
A
A
A

KENINGAU - Bau busuk yang dihidu seorang lelaki ketika memancing, selain kehadiran biawak di kawasan itu, membawa kepada penemuan rangka manusia sebelum disahkan milik kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang bersama datuknya di Sungai Pagalan, berhampiran Taman Bersatu pada Selasa lalu.

Rangka mayat Muhammad Aidan Ridwan Abdullah, 10, ditemukan kira-kira jam 4.30 petang Jumaat di tebing Sungai Kampung Sigapon, di sini

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan rangka manusia itu pada jam 9.17 malam Jumaat.

"Ketika kejadian, pengadu sedang memancing sebelum terhidu bau kurang menyenangkan. Pengadu kemudian berjalan menuju ke arah bau tersebut dan terlihat dua ekor biawak sedang berlegar-legar di kawasan berkenaan.

"Pengadu kemudian menemui rangka manusia di tepi sungai dalam keadaan tidak sempurna sebelum bertindak pulang ke rumahnya di Kampung Gaulan dan memaklumkan perkara itu kepada sepupunya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Yampil berkata, susulan penemuan tersebut, sepupu pengadu bertindak menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut pihak polis mendapati rangka manusia yang ditemukan berada dalam keadaan tidak sempurna dan dipercayai telah dimakan haiwan.

“Rangka dan beberapa cebisan kulit serta isi manusia dipercayai merupakan mangsa lemas yang dilaporkan pada Selasa lalu.

"Jarak antara lokasi kejadian lemas di Sungai Pagalan, dengan lokasi rangka ditemui di Kampung Sigapon dianggarkan kira-kira 23 kilometer," katanya

Artikel Berkaitan:

Tambah Yampil lagi, rangka berkenaan kemudian dikutip dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Keningau untuk tindakan lanjut.

"Kira-kira jam 3 petang tadi, ibu mangsa tampil membuat pengecaman dan mengesahkan rangka tersebut adalah anaknya berdasarkan pengecaman gigi, disaksikan pegawai perubatan dan pegawai penyiasat," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki warga emas bersama cucunya dilaporkan hilang ketika memeriksa bot di sungai tersebut.

Dalam kejadian tersebut, Fredoline Yariki, 60, ditemukan lemas pada keesokan harinya manakala cucunya masih hilang.

Ringkasan AI

  • Bau busuk ketika memancing membawa kepada penemuan rangka manusia di tebing Sungai Kampung Sigapon.
  • Rangka yang ditemui disahkan milik kanak-kanak lelaki Muhammad Aidan Ridwan Abdullah yang hilang bersama datuknya.
  • Ketua Polis Daerah Keningau sahkan penemuan rangka dan tindakan polis selepas diberitahu sepupu pengadu.
  • Rangka ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan dipercayai dimakan haiwan, dibawa ke Forensik Hospital Keningau.
  • Ibu mangsa mengesahkan rangka anaknya berdasarkan pengecaman gigi, pegawai perubatan dan pegawai penyiasat turut hadir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!