Tradisi Raya Enam sejak 1960-an terus dihidupkan

Suasana meriah sepanjang sambutan Raya Enam yang diadakan di Kampung Durian Kassim, Hulu Terengganu.
Suasana meriah sepanjang sambutan Raya Enam yang diadakan di Kampung Durian Kassim, Hulu Terengganu.
A
A
A

​HULU TERENGGANU - Tradisi sambutan 'raya enam' yang diamalkan sejak awal tahun 1960-an terus dihidupkan apabila lebih 500 penduduk Kampung Durian Kassim di sini berkumpul meraikannya sempena 8 Syawal pada Sabtu.

​Masyarakat di perkampungan tersebut mengekalkan tradisi berkenaan hampir setiap tahun selepas selesai menyempurnakan ibadah puasa sunat enam hari yang bermula pada 2 Syawal lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Durian Kassim, Narasid Abu Bakar, 54, berkata, kampung itu merupakan antara lokasi di daerah ini yang masih mengadakan sambutan 'raya enam' secara besar-besaran.

Amalan kunjung mengunjungi semasa sambutan Raya Enam yang diadakan di Kampung Durian Kassim, Hulu Terengganu.
Amalan kunjung mengunjungi semasa sambutan Raya Enam yang diadakan di Kampung Durian Kassim, Hulu Terengganu.

Menurutnya, ​suasana sambutan yang diadakan diserikan dengan kehadiran perantau yang pulang dari pelbagai negeri semata-mata untuk tidak melepaskan peluang meraikan hari istimewa tersebut.

"​Kehadiran mereka menghidupkan suasana kampung dan mengukuhkan hubungan sesama penduduk yang mungkin jarang bertemu sepanjang tahun.

​"Walaupun orang lama yang memulakan tradisi ini semuanya telah tiada, kami bangga kerana generasi hari ini masih bersemangat meneruskannya dalam suasana yang tetap meriah seperti dahulu," katanya ketika ditemui di sini.

​Menurut seorang perantau, Mohd Rozlan Bakar, 49, dia sanggup menempuh perjalanan jauh dari Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, Selangor sekiranya mempunyai cuti yang panjang.

Artikel Berkaitan:

Penduduk kampung sama-sama meraikan sambutan Raya Enam yang diadakan di Kampung Durian Kassim, Hulu Terengganu.
Penduduk kampung sama-sama meraikan sambutan Raya Enam yang diadakan di Kampung Durian Kassim, Hulu Terengganu.

​"Saya ni susah juga nak dapat cuti lama, tapi jika ada peluang, saya pasti akan pulang ke kampung kerana tak mahu melepaskan suasana ini.

"Perayaan ni bukan sekadar berkumpul dengan keluarga, tetapi ruang untuk saya bertemu semula rakan-rakan lama yang sudah puluhan tahun tidak bersua muka," ujarnya.

​Sementara itu, Norul Nor Aidah Razani, 37, pula menyifatkan sambutan tersebut sebagai amanah untuk mengeratkan hubungan adik-beradik selepas pemergian kedua ibu bapa mereka.

​Katanya, walaupun masing-masing kini menetap di luar daerah dan mempunyai komitmen sendiri, 'raya enam' tetap menjadi titik pertemuan wajib bagi mereka sekeluarga.

​"Saya akan pastikan semua adik-beradik balik berkumpul seperti dahulu. Inilah cara kami mengekalkan hubungan kekeluargaan selain dapat mengimbau kenangan lama bersama ibu bapa.

​"Juadah tradisional seperti ketupat, lemang dan pelbagai kuih-muih tetap menjadi hidangan wajib. Kami cuba kekalkan cara sambutan lama supaya generasi muda dapat merasai sendiri kemeriahan budaya ini," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Tradisi 'raya enam' di Kampung Durian Kassim masih dihargai sejak 1960-an.
  • Lebih 500 penduduk berhimpun sempena 8 Syawal selepas puasa sunat enam hari.
  • Perantau dari pelbagai negeri pulang bagi mengekalkan suasana dan hubungan kampung.
  • Penerusan tradisi ini mengukuhkan hubungan kekeluargaan walaupun orang lama sudah tiada.
  • Juadah tradisional seperti ketupat dan lemang kekal sebagai hidangan wajib semasa sambutan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!