Meninggal dunia beberapa jam sebelum majlis pertunangan

Hasrat Mohamad Shahrin untuk mengikat tali pertunangan pada Jumaat berakhir dengan tragedi.
Hasrat Mohamad Shahrin untuk mengikat tali pertunangan pada Jumaat berakhir dengan tragedi.
A
A
A

​KUALA TERENGGANU – Hasrat seorang lelaki untuk mengikat tali pertunangan pada Jumaat berakhir dengan tragedi memilukan apabila dia maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Duyong, di sini.

​Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Shahrin Mohd, 33, yang bekerja sabagai nelayan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan.

​Bakal tunang mangsa, Ain Sofea Aminu Nansar, 25, meluahkan rasa terkilan dan tidak menyangka pertemuan mereka petang Khamis merupakan kali terakhir dia menatap wajah insan tersayang itu.

​Lebih menyedihkan, Ain Sofea sempat menghantar sepasang baju buat Allahyarham untuk dipakai pada majlis istimewa mereka yang sepatutnya berlangsung semalam.

​"Apakan daya, ALLAH lebih menyayanginya. Semalam saya baru saja hantar baju untuk dia pakai hari ini, tapi tak sangka dia tidak sempat menyarungnya," katanya sebak.

​Sementara itu, abang mangsa, Mohamad Hafiz Mohd, 36, menyedari perubahan sikap adiknya yang kelihatan agak pelik sejak sambutan Aidilfitri yang lalu.

​Menurutnya, arwah yang sebelum ini dikenali sebagai seorang yang sukar dipujuk untuk bergambar, tiba-tiba menunjukkan keterujaan luar biasa pada 1 Syawal lalu.

​"Dia beria-ia mengajak semua anak saudaranya bergambar bersama. Rupa-rupanya itu petanda dia akan pergi meninggalkan kami buat selamanya," jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan kejadian tersebut dan menyatakan pihak polis menerima laporan berhubung kemalangan itu jam 7.30 pagi.

​"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan lalu melanggar penghadang di sebelah kiri jalan. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

​Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cengal, Pulau Duyong pada jam 5 petang pada Jumaat.

Ringkasan AI

  • Hasrat lelaki maut dalam kemalangan sebelum bertunang.
  • Mangsa, Mohamad Shahrin meninggal di tempat kejadian.
  • Bakal tunang, Ain Sofea rasa terkilan dan sedih.
  • Abang mangsa, Mohamad Hafiz kongsi perubahan sikap adik.
  • Polis sahkan kemalangan, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!