Remaja diacu pisau, disamun!

Mangsa (kiri) bergelut dan menarik pemegang belakang motosikal suspek menyebabkan suspek terjatuh, namun berjaya bangun dan memukulnya sebelum melarikan diri.
Mangsa (kiri) bergelut dan menarik pemegang belakang motosikal suspek menyebabkan suspek terjatuh, namun berjaya bangun dan memukulnya sebelum melarikan diri.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang remaja lelaki disamun dua penjenayah bermotosikal dalam kejadian di hadapan sebuah kedai runcit Kampung Cempaka, Pengkalan Chepa di sini semalam.

Dalam kejadian jam 6.50 petang itu, mangsa berusia 18 tahun yang baru keluar dari kedai selepas membeli ais turut dipukul oleh penjenayah yang bersenjatakan pisau tersebut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, mangsa didatangi dua lelaki tidak dikenali dari arah belakang.

Menurutnya, seorang daripada suspek memeluk mangsa manakala seorang lagi mengacukan senjata dipercayai pisau ke perutnya.

ABDUL RAHIM DAUD
ABDUL RAHIM DAUD

"Suspek meminta mangsa mengeluarkan beg duit dan mengambilnya. Suspek memberitahu supaya tunggu sekejap kerana kononnya sebentar lagi ada polis akan datang mengambil mangsa.

“Mangsa menolak dan cuba melawan namun ditumbuk pada muka. Mangsa bertindak memegang pemegang belakang bahagian motosikal suspek sehingga suspek terjatuh.

“Suspek bagaimanapun bangun dan menumbuk bahagian muka serta menyepak dada mangsa sebelum terus melarikan diri ke arah bulatan Cempaka bersama beg duit yang mengandungi kad pengenalan serta duit RM500,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan polis dan siasatan segera dijalankan di tempat kejadian.

Katanya, susulan kejadian itu, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan melakukan serbuan dan menahan empat lelaki di sebuah rumah di kawasan Wakaf Stan, Kubang Kerian pada jam 2 pagi tadi.

“Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 24 tahun. Ujian awal urin mendapati kesemua suspek positif dadah jenis metamphetamine.

“Tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Polis turut merampas beberapa barangan seperti rantai leher dan jam tangan yang dipercayai hasil jenayah samun,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan dan bersenjata.

“Semua suspek yang ditangkap dikenakan perintah tahanan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan lanjut,” katanya.