Tiada isu lewat, insentif RM600 hanya untuk 2023, 2024 - KPKM

KPKM akan terus mengambil pendekatan proaktif, inklusif dan berasaskan data dalam memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara.
KPKM akan terus mengambil pendekatan proaktif, inklusif dan berasaskan data dalam memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjelaskan dakwaan mengenai kelewatan bantuan insentif tunggu tuai sebanyak RM600 kepada pesawah adalah tidak berbangkit kerana ia merupakan bantuan khas secara sekali bayar  bagi tahun 2023 dan 2024 sahaja.

KPKM dalam satu kenyataan berkata, peruntukan bagi bantuan tersebut tidak diteruskan dalam Belanjawan 2025 dan 2026, justeru tidak timbul isu kelewatan pembayaran seperti mana yang digembar-gemburkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

"Dalam hal ini, adalah penting agar kenyataan yang hendak dibuat mestilah berasaskan fakta dan butiran sebenar dasar kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pesawah dan rakyat," kata kementerian itu.

Mengulas mengenai kebimbangan kenaikan kos operasi, KPKM menegaskan pihaknya telah mengambil langkah proaktif termasuk menubuhkan satu jawatankuasa khas di peringkat kementerian untuk meneliti kesan keseluruhan kenaikan harga minyak dunia terhadap sektor pertanian.

Malah, kerajaan sebelum ini telah pun meningkatkan kadar bantuan pembajakan daripada RM100 kepada RM160 sehektar serta memperkenalkan bantuan upah menuai RM50 sehektar bagi meringankan beban pesawah.

"KPKM sememangnya sedang memantau impak kenaikan harga diesel yang memberi kesan kepada kos operasi, dan perkara ini sedang diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang syor dikemukakan kepada Kementerian Kewangan berdasarkan keperluan semasa," jelas kenyataan itu lagi.

Selain itu, bagi memastikan suara pemain industri didengari, Mesyuarat Pasca Kabinet KPKM pada 17 Mac lalu telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara (JKPIPB) yang dipengerusikan sendiri oleh Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Di sebalik kenaikan kos baja di peringkat global, KPKM memberi jaminan bahawa bantuan subsidi input seperti benih, baja, dan racun tidak akan terjejas dan akan diteruskan seperti biasa.

Kementerian turut memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mengganggu rantaian bekalan makanan ruji negara.

"Perlu ditegaskan, KPKM pada bila-bila masa boleh melaksanakan intervensi sewajarnya berdasarkan peruntukan di bawah Akta 522 sekiranya berlaku gangguan terhadap rantaian penghasilan dan pembekalan padi serta beras negara.

"Kerajaan Madani melalui KPKM akan terus mengambil pendekatan proaktif, inklusif dan berasaskan data dalam memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara," katanya.

Langkah lain yang turut dilaksanakan bagi mendepani cabaran cuaca termasuklah operasi pembenihan awan pada Februari lalu serta penggunaan kaedah penanaman Tabur Terus Kering (TTK) di kawasan yang terhad sumber air.

Hamzah pada Rabu menggesa kerajaan segera merangka pelan kontingensi nasional yang menyeluruh bagi mengurangkan kesan kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia susulan konflik geopolitik di Asia Barat.

Ahli Parlimen Larut itu antara lain turut mempersoalkan insentif tunai RM600 yang tidak diterima pesawah sejak dua musim berturut-turut.

Ringkasan AI

  • Kelewatan bantuan insentif tunggu tuai RM600 kepada pesawah tidak berbangkit kerana ia bantuan khas bagi tahun 2023 dan 2024 sahaja
  • Peruntukan bantuan tersebut tidak diteruskan dalam Belanjawan 2025 dan 2026, tiada isu kelewatan pembayaran
  • KPKM telah menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti kesan kenaikan harga minyak dunia terhadap sektor pertanian
  • Peningkatan kadar bantuan pembajakan dari RM100 kepada RM160 sehektar dan pengenalan bantuan upah menuai RM50 sehektar
  • Penubuhan Jawatankuasa Perundingan Industri Padi dan Beras Negara untuk memastikan suara pemain industri didengari

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!