Macau destinasi kegemaran antarabangsa - MATTA

Mohd Hizzat (kanan) bersama Rocky Kho (kiri) dan Wai Tong (tengah) ketika sidang akhbar MATTA: Macau Destinasi Kegemaran Antarabangsa di MITEC pada Khamis. FOTO: Asril Aswandi Shukor
Mohd Hizzat (kanan) bersama Rocky Kho (kiri) dan Wai Tong (tengah) ketika sidang akhbar MATTA: Macau Destinasi Kegemaran Antarabangsa di MITEC pada Khamis. FOTO: Asril Aswandi Shukor
A
A
A

KUALA LUMPUR – Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mengumumkan Macau sebagai destinasi kegemaran antarabangsa sempena Pameran MATTA pada April depan.

Naib Presiden Penyelidikan dan Teknologi MATTA, Mohd Hizzat Mohd Shah berkata, pemilihan berdasarkan permintaan tinggi rakyat Malaysia terhadap negara tersebut yang menawarkan pelbagai pengalaman unik.

"Macau menawarkan gabungan budaya, hiburan serta gastronomi bertaraf dunia yang menjadi tarikan utama.

"Kami melihat permintaan amat memberangsangkan daripada pelancong Malaysia untuk meneroka kepelbagaian negara tersebut," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Pejabat Pelancongan Kerajaan Macau, Cheng Wai Tong dan Bendahari Kehormat MATTA, Rocky Kho dan 

Dalam pada itu beliau memaklumkan, Pameran MATTA akan berlangsung pada 3 April hingga 5 April depan di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Pameran edisi ke-58 itu dijangka terus mengekalkan status sebagai pameran pelancongan terbesar negara dengan penyertaan 330 organisasi melibatkan 2,043 reruai.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 210 agensi pelancongan dan pengembaraan akan menawarkan pelbagai pakej pelancongan yang disusun khas kepada pengunjung.

"Selain itu, pengunjung turut berpeluang berinteraksi dengan enam Organisasi Pelancongan Kebangsaan (NTO), 11 Organisasi Pelancongan Negeri (STO), 63 hotel dan resort, 11 taman tema serta 28 penyedia perkhidmatan berkaitan pelancongan," jelasnya.

Sementara itu, Wai Tong berkata, Malaysia merupakan antara pasaran utama di Asia Tenggara dan platform tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempromosikan produk pelancongan 'tourism +' yang disesuaikan.

"Kami secara berterusan menyediakan lebih banyak tarikan baharu di Macau yang bukan sahaja melibatkan penyediaan resort bersepadu, tetapi mempersiapkan komuniti untuk menerima pelancong Malaysia.

"Selain itu kami turut bekerjasama dengan persatuan dan komuniti tempatan untuk meneroka lebih banyak lokasi menarik yang boleh dikunjungi.

"Pelancong boleh mengikuti akaun media sosial kami untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai Macau," katanya.

Macau merekodkan 188,000 ketibaan pelancong Malaysia pada tahun 2025 dan menyasarkan peningkatan sebanyak lima perastus pada tahun ini.

Pameran MATTA dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 9 malam dan perkhidmatan bas ulang-alik dari KL Sentral dan pusat beli-belah Sunway Putra Mall ke MITEC disediakan secara percuma.

Ringkasan AI

  • MATTA mengumumkan Macau sebagai destinasi kegemaran antarabangsa
  • Pemilihan berdasarkan permintaan tinggi rakyat Malaysia terhadap Macau
  • Macau menawarkan gabungan budaya, hiburan, dan gastronomi bertaraf dunia
  • Pameran MATTA akan berlangsung pada 3 April hingga 5 April di MITEC
  • Macau menyasarkan peningkatan jumlah pelancong Malaysia sebanyak lima peratus pada tahun ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!