PM Denmark letak jawatan, rundingan pembentukan kerajaan baharu bermula

 Mette Frederiksen. - Agensi
Mette Frederiksen. - Agensi
A
A
A

COPENHAGEN, - Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatan kerajaan kepada Raja Frederik X, pada Rabu sekali gus memulakan pusingan baharu rundingan bagi membentuk kerajaan baharu, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan daripada istana diraja Denmark, sesi menghadap itu berlangsung pada 10.15 pagi waktu tempatan di Amalienborg, kediaman rasmi keluarga diraja Denmark di Copenhagen

Selepas menyembah maklum keputusan Pilihan Raya Parlimen pada Selasa kepada baginda, Frederiksen meminta agar wakil parti-parti yang memenangi kerusi di Folketing - Parlimen satu dewan negara itu - dibenarkan menyatakan pandangan mereka mengenai pembentukan kerajaan baharu.

Menurut pihak istana, proses pembentukan Kerajaan Denmark sebahagian besarnya mengikut amalan politik yang telah lama diamalkan dan bukannya berdasarkan peraturan Perlembagaan yang terperinci.

Berdasarkan saranan parti-parti berkenaan, seorang ketua perunding yang juga dikenali sebagai "penyiasat diraja" akan dilantik bagi meneroka kemungkinan pembentukan kerajaan baharu.

Dalam sesetengah kes, lebih daripada satu pusingan perundingan diperlukan dalam proses berkenaan.

Sebelum kerajaan baharu ditubuhkan, Frederiksen akan terus menjalankan tugasnya dengan kapasiti sebagai kerajaan sementara.

Pilihan Raya Parlimen pada Selasa menyaksikan tiada mana-mana pihak memperoleh majoriti mudah di Folketing yang mempunyai 179 kerusi.

Parti Social Democrats pimpinan Frederiksen kekal sebagai parti terbesar dengan memenangi 38 kerusi, namun "blok merah" (haluan kiri) mahupun "blok biru" (haluan kanan) gagal meraih 90 kerusi yang diperlukan untuk mencapai majoriti.

Artikel Berkaitan:

Parti Moderates yang berhaluan tengah dengan 14 kerusi, kini dilihat sebagai pemain yang penting dalam rundingan gabungan akan datang. - Bernama

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Raja Frederik X
  • Sesi menghadap itu berlangsung di Amalienborg, kediaman rasmi keluarga diraja Denmark
  • Frederiksen meminta wakil parti-parti pemenang kerusi Parlimen menyatakan pandangan mengenai pembentukan kerajaan baharu
  • Proses pembentukan kerajaan di Denmark mengikut amalan politik tradisional, bukan peraturan Perlembagaan yang terperinci
  • Parti Social Democrats kekal sebagai parti terbesar dengan 38 kerusi, namun tiada blok politik mencapai majoriti mudah di Parlimen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!