'Flat B40 tapi suasana hotel'

KLANG – Siapa sangka sebuah flat kos rendah kini mampu mencuri perhatian pengunjung apabila ruang lifnya berubah wajah seolah-olah berada di hotel mewah, hasil sentuhan gotong-royong penduduk sendiri.
Flat sembilan tingkat yang menempatkan 148 unit kediaman itu sebelum ini dilihat biasa, malah agak usang, namun kini tampil lebih selesa, ceria, dan menarik dengan identiti tersendiri bagi setiap aras.
Ketua Blok G, Flat Seri Perantau, Norazman Abd Wahab berkata, beliau menggerakkan komuniti untuk melakukan perubahan sejak diberi tanggungjawab mengetuai blok itu pada 18 Januari lalu.
Menurut beliau, walaupun mencabar untuk mencapai hasil seperti sekarang, kerjasama erat antara penduduk membolehkan wajah persekitaran di lif Blok G berubah sepenuhnya.
"Kami ambil masa kira-kira sebulan. Aktiviti menghias kebanyakannya dilakukan pada waktu malam kerana kebanyakan penduduk bekerja siang hari.
"Namun, setiap aras kini dihias dengan identiti dan tema tersendiri," jelasnya.
Norazman menekankan, walaupun mereka tergolong dalam golongan B40, beliau mahu semua penduduk berasa seolah-olah tinggal di tempat yang lebih eksklusif, sekali gus memberi ketenangan dan keselesaan selepas pulang dari kerja.
Bagi menjayakan usaha itu, persatuan blok turut menyediakan peruntukan sebanyak RM300 bagi setiap tingkat, manakala penduduk mengambil inisiatif sendiri sekiranya dana itu tidak mencukupi bagi menambahbaik ruang mereka.
"Kreativiti penduduk terserlah melalui dekorasi unik, pemilihan warna cat, serta sentuhan peribadi yang menjadikan setiap tingkat berbeza dan menarik.
"Lebih menarik, semua kerja dilakukan secara sukarela. Penduduk berganding bahu membersihkan kawasan, menanggalkan kotoran lama dan mengecat semula dinding yang sebelum ini kusam," ujarnya.
Bagi menaikan semangat penduduk, persatuan blok turut menganjurkan pertandingan antara tingkat.
"Inisiatif ini bukan sahaja memupuk persaingan sihat, malah mencetuskan idea kreatif dan mengeratkan hubungan kejiranan.
"Apabila ada pertandingan, semua penduduk lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik. Hasilnya, koridor dan kawasan lif yang sebelum ini suram kini berubah menjadi ceria, bersih dan memikat pandangan," ujarnya.
Beliau turut mengharapkan agar semangat ini akan menjadi inspirasi kepada blok lain di Seri Perantau dan juga flat lain.
Kini, Blok G bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk, malah pengunjung yang melalui kawasan itu turut terpesona dengan transformasi yang hampir menyerupai hotel bertaraf sederhana.
Sentuhan komuniti ini membuktikan bahawa kreativiti dan semangat gotong-royong mampu mengubah suasana, bahkan memberikan inspirasi bahawa kediaman kos rendah juga boleh tampil menarik dan selesa.
Ringkasan AI
- Flat kos rendah di Klang berubah wajah seperti hotel mewah hasil kerjasama penduduk
- Inisiatif diketuai oleh Ketua Blok G, Flat Seri Perantau sejak 18 Januari
- Penduduk bergotong-royong menghias, menggunakan dana RM300 per tingkat dan usaha sendiri
- Transformasi mencakupi dekorasi unik dan tema berbeza bagi setiap aras
- Proyek memperlihatkan kreativiti dan semangat komuniti meningkatkan kualiti hidup dalam golongan B40
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

