Saman fitnah: Rafizi diarah fail pernyataan pembelaan selewatnya 9 April

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini mengarahkan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab saman fitnah difailkan pempengaruh Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli terhadapnya selewat-lewatnya pada 9 April ini.
Caprice selaku plaintif memfailkan saman berhubung empat video yang dimuat naik di media sosial bekas Menteri Ekonomi itu yang didakwa mengandungi kenyataan berbaur fitnah.
Video berkenaan menyentuh dakwaan Caprice berkaitan isu rasuah bernilai RM2.5 bilion membabitkan projek Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Peguam Mohd Rezan Ezra yang mewakili Caprice berkata, pada pengurusan kes pada Rabu melalui e-review, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Shasha Hidayah Nor Azahar mengarahkan Rafizi selaku defendan untuk memfailkan pernyataan pembelaan pada atau sebelum 9 April ini.
"Caprice pula perlu memfailkan jawapan kepada pembelaan pada atau sebelum 30 April ini. Tarikh pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 13 Mei,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, Rafizi menerima saman itu melalui peguamnya dan telah memfailkan memorandum kehadiran.
Prosiding pada Rabu turut disertai peguam Edmund Choi, yang mewakili Rafizi.
Pada 26 Februari lepas, Caprice memfailkan saman itu terhadap Rafizi yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan memfitnah dalam empat rakaman video yang dimuat naik di akaun Instagram, X dan TikTok atas nama pengguna "rafiziramli929” dan "rafiziramli” miliknya.
Plaintif mendakwa kenyataan daripada video defendan antara lain membawa maksud plaintif bertindak bersama pihak-pihak yang tidak dikenali untuk mereka cipta dan menyebarkan dakwaan rasuah palsu.
Plaintif juga mendakwa kenyataan dibuat oleh defendan dalam video-video berkenaan adalah fitnah yang merosakkan reputasi plaintif selain memberi implikasi bahawa plaintif adalah seorang yang tidak boleh dipercayai dalam perbincangan mengenai perkara-perkara kepentingan awam.
Sehubungan itu, Caprice menuntut ganti rugi khas sebanyak RM10 juta untuk kehilangan pendapatan, ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah dan kos.
Selain itu, beliau turut menuntut defendan membuat permohonan maaf dan perintah injunksi agar defendan memadamkan video-video berkenaan daripada platform media sosial defendan. - Bernama
Ringkasan AI
- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur arahkan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli failkan pembelaan menjawab saman fitnah oleh Caprice sebelum 9 April
- Caprice saman Rafizi berkenaan empat video di media sosial yang dikatakan fitnah isu rasuah RM2.5 bilion projek NETR
- Peguam Caprice nyatakan tarikh seterusnya pengurusan kes pada 13 Mei dengan Rafizi perlu failkan jawapan pembelaan sebelum 30 April
- Caprice tuntut ganti rugi RM10 juta, permohonan maaf, dan hapus video dari media sosial
- Saman diikuti dakwaan video Rafizi beri maksud Caprice terlibat dalam dakwaan rasuah palsu dan merosakkan reputasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
