Perak pilihan realistik pelabur muda

Perak semakin relevan sebagai pilihan pelaburan golongan muda, didorong harga mampu milik dan permintaan global. Gambar hiasan
Perak semakin relevan sebagai pilihan pelaburan golongan muda, didorong harga mampu milik dan permintaan global. Gambar hiasan
A
A
A

PERAK kini muncul sebagai alternatif pelaburan yang semakin relevan terutama bagi golongan muda yang mahu memulakan pembinaan aset simpanan tanpa kos permulaan yang tinggi.

Harganya yang lebih mampu milik berbanding emas menjadikan ia lebih mudah diakses sebagai langkah permulaan dalam pelaburan logam berharga.

Dalam masa sama, permintaan terhadap perak bukan sahaja datang daripada pelabur malah sektor industri seperti tenaga solar, elektronik dan teknologi yang menyokong nilainya dalam jangka panjang.

Walau bagaimanapun, pelabur perlu memahami bahawa harga perak boleh mengalami turun naik yang lebih ketara kerana ia dipengaruhi oleh faktor pelaburan dan juga keadaan ekonomi global.

Oleh itu, pendekatan yang lebih bijak ialah melihat perak sebagai sebahagian daripada strategi diversifikasi aset di samping membina disiplin simpanan secara konsisten dan berterusan.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Taha Mohd Omar berkata, dengan pengetahuan yang betul, perak boleh menjadi salah satu instrumen yang membantu golongan muda merancang masa depan kewangan mereka dengan lebih baik.

“Perak juga boleh menjadi pilihan pelaburan yang realistik khususnya bagi golongan muda kerana harganya jauh lebih rendah berbanding emas. Selain itu, perak boleh dibeli dalam kuantiti yang lebih kecil dan secara berperingkat.

“Pendekatan ini memudahkan pelabur memulakan langkah pertama dalam pelaburan logam berharga sebelum beralih kepada emas apabila kemampuan kewangan mereka meningkat,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Tambahnya, dari sudut trend global, permintaan terhadap perak juga menunjukkan peningkatan.

“Laporan industri menjangkakan pelaburan fizikal perak global boleh mencecah sekitar 227 juta auns pada 2026, menurut Reuters. Peningkatan ini dipacu minat pelabur runcit serta ketidaktentuan ekonomi global.

“Dalam masa sama, perkembangan teknologi dan peralihan ke arah ekonomi hijau dijangka memperkukuh lagi permintaan perak, sekali gus menyokong kestabilan nilainya dalam jangka panjang,” jelasnya.

Beliau berpandangan, walaupun emas sering dianggap sebagai aset selamat ketika ekonomi tidak menentu, perak juga mempunyai potensi sebagai aset pelindung nilai.

“Perak kekal sebagai logam berharga yang mendapat perhatian pelabur khususnya dalam persekitaran inflasi dan ketidaktentuan pasaran. Dalam masa sama, kekuatan asas perak turut dipacu oleh peranannya dalam rantaian teknologi moden.

“Dengan hampir 50 peratus permintaan global disumbangkan sektor pembuatan termasuk panel solar dan komponen elektronik, logam ini mempunyai sokongan asas yang lebih pelbagai,” jelasnya.

Menurut Taha, bagi pelabur muda yang ingin bermula, aspek utama yang perlu difahami ialah pergerakan harga perak yang cenderung lebih sensitif berbanding emas.

“Keadaan ini berlaku kerana harga perak bukan sahaja dipacu sentimen pelabur tetapi turut berkait rapat dengan kitaran ekonomi global. Sebarang perubahan dalam aktiviti ekonomi boleh memberi kesan langsung kepada pergerakan harganya.

“Justeru, perak wajar dilihat sebagai pelengkap dalam portfolio pelaburan dan bukan satu-satunya pegangan. Amalan pelaburan secara berperingkat serta berorientasikan jangka panjang lebih sesuai bagi mengurus ketidaktentuan harga,” katanya.

Prospek perak cerah di sebalik ketidaktentuan

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, Dr Mohd Iqbal Mohd Noor berkata, ketegangan geopolitik termasuk konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran menyebabkan harga perak berada dalam fasa lebih volatil dengan pergerakan harian yang ketara.

“Pelaburan perak pada 2026 bagaimanapun kekal dalam aliran menaik yang kukuh. Dalam tempoh 12 bulan lalu, harga perak meningkat sekitar 147.16 peratus daripada AS$32.94 seauns pada 2025 kepada AS$86 seauns pada 2026.

“Namun, harga perak kekal sensitif terhadap perubahan kadar faedah serta kekuatan dolar AS. Perkembangan pasaran pada Mac 2026 menunjukkan konflik Iran mendorong kenaikan harga minyak dan menjejaskan sentimen pasaran global, sekali gus menjadikan pergerakan harga perak lebih tidak menentu berbanding emas,” katanya.

Tambah beliau, dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, perak boleh dipertimbangkan sebagai pilihan pelaburan namun bukan sebagai pegangan utama.

“Perak mempunyai prospek yang menarik kerana berfungsi sebagai logam berharga ketika ketegangan geopolitik dan sebagai input penting dalam ekonomi hijau serta digital. Namun, harganya lebih mudah mengalami turun naik.

“Justeru, walaupun potensi pulangannya tinggi, tahap risikonya juga besar dan perak lebih sesuai dijadikan aset pelengkap dalam portfolio. Ia juga lebih relevan untuk pelabur muda yang memahami turun naik pasaran serta bersedia menghadapi ketidakstabilan dalam jangka pendek hingga sederhana,” katanya.

Mohd Iqbal menjangkakan permintaan terhadap perak terus meningkat dalam jangka panjang kerana dunia sedang bergerak ke arah digitalisasi dan penggunaan tenaga boleh baharu.

“Penggunaan tenaga solar dilaporkan meningkat sebanyak 33 peratus manakala jualan kenderaan elektrik global telah melepasi 20 juta unit pada tahun 2025 iaitu meningkat lebih 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Trend ini penting kerana tenaga solar, kenderaan elektrik dan infrastruktur pengecasan menggunakan komponen berasaskan perak. Oleh itu, selagi proses peralihan kepada ekonomi hijau dan digital terus berkembang, permintaan terhadap perak dijangka kekal kukuh,” ujarnya.

Beliau berkata, harga perak berkait rapat dengan perkembangan ekonomi hijau dan digital, selain dipacu komponen permintaan industri yang lebih besar berbanding emas.

“Peningkatan aktiviti perindustrian serta peralihan ke arah ekonomi hijau dan digital dijangka terus menyokong permintaan terhadap perak. Berdasarkan perkembangan semasa, pasaran logam itu dijangka kekal dalam keadaan permintaan yang kukuh," menurutnya lagi.

Ringkasan AI

  • Perak menjadi alternatif pelaburan menarik terutama bagi golongan muda dengan kos permulaan yang rendah
  • Harga perak lebih mampu milik berbanding emas, menjadikannya lebih aksesibel untuk pelaburan pertama
  • Permintaan terhadap perak tinggi tidak hanya dari pelabur tetapi juga dari sektor industri seperti tenaga solar dan elektronik
  • Pelabur harus memahami harga perak boleh berubah secara ketara, dipengaruhi oleh faktor pelaburan dan ekonomi global
  • Perak dijadikan sebahagian daripada strategi diversifikasi aset, membantu dalam pembinaan disiplin simpanan secara konsisten

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!