ABIM gesa pendekatan tegas tangani budaya mercun

ABIM memandang serius peningkatan penggunaan mercun yang menimbulkan kecederaan, kebakaran dan gangguan ketenteraman awam.
ABIM memandang serius peningkatan penggunaan mercun yang menimbulkan kecederaan, kebakaran dan gangguan ketenteraman awam.
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang serius peningkatan penggunaan mercun sepanjang musim perayaan yang disertai insiden kecederaan, kebakaran dan gangguan ketenteraman awam.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri berkata, fenomena itu tidak lagi boleh dilihat sebagai isu bermusim, sebaliknya telah menjadi kebimbangan keselamatan awam yang berulang setiap tahun.

Menurut beliau, isu mercun ketika ini bukan lagi soal tradisi, tetapi melibatkan keselamatan awam serta kegagalan mengekang budaya berisiko dalam kalangan masyarakat.

“Kegembiraan tidak boleh dibayar dengan nyawa dan keselamatan masyarakat,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ahmad Fawwaz berkata, ABIM turut membangkitkan kebimbangan terhadap budaya menunjuk-nunjuk melalui penggunaan mercun bernilai ribuan ringgit yang bukan sahaja mencerminkan pembaziran, malah menunjukkan pergeseran nilai dalam masyarakat.

Ujarnya, situasi itu lebih membimbangkan kerana berlaku sejurus selepas Ramadan yang sepatutnya mendidik umat mengenai kesederhanaan dan tanggungjawab sosial.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kebenaran penjualan mercun secara berlesen tidak boleh dianggap sebagai jaminan keselamatan, berikutan masih wujud jurang antara dasar dan pelaksanaan.

“Ini termasuk penjualan mercun berbahaya secara tidak terkawal serta akses mudah kepada kanak-kanak,” ujarnya.

Beliau turut berpandangan kerangka perundangan sedia ada yang bersifat lama perlu dinilai semula supaya lebih responsif terhadap cabaran semasa, termasuk penjualan dalam talian dan pemantauan rantaian bekalan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penguatkuasaan yang tidak menyeluruh hanya membuka ruang kepada penyalahgunaan dan meningkatkan risiko keselamatan awam.

Mengulas lanjut, Ahmad Fawwaz berkata, peranan ibu bapa dan penjaga tidak boleh dipinggirkan kerana kurangnya pemantauan terhadap anak-anak ketika bermain mercun boleh meningkatkan risiko kecederaan serius.

Sehubungan itu, beliau berkata, ABIM menggesa pendekatan lebih tegas dan bersepadu dilaksanakan, termasuk pengkelasan semula mercun mengikut tahap risiko, kawalan pembelian lebih ketat, penetapan zon penggunaan sesuai serta penguatkuasaan lebih proaktif sebelum musim perayaan.

“Pendekatan bermusim yang bersifat reaktif tidak lagi memadai. Sudah tiba masanya anjakan kepada dasar pencegahan yang lebih berkesan dan berteraskan keselamatan awam dilaksanakan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, ABIM turut menggalakkan alternatif sambutan yang lebih selamat dan membina, selain menyeru masyarakat kembali menghayati nilai adab, tanggungjawab dan ihsan dalam meraikan perayaan.

Ringkasan AI

  • ABIM memandang serius peningkatan penggunaan mercun yang menimbulkan kecederaan, kebakaran dan gangguan ketenteraman awam
  • Fenomena mercun dilihat sebagai isu keselamatan awam dan bukan lagi soal tradisi
  • ABIM mengkritik budaya menunjuk-nunjuk melalui penggunaan mercun yang mencerminkan pembaziran dan pergeseran nilai masyarakat
  • Dasar penjualan mercun yang berlesen tidak menjamin keselamatan kerana adanya jurang dalam pelaksanaan
  • ABIM menyeru kepada pendekatan pencegahan lebih berkesan melalui pengkelasan semula mercun, kawalan pembelian, penetapan zon penggunaan, dan penguatkuasaan proaktif

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!