[VIDEO] Kanak-kanak jatuh tangga: RM3 juta diperuntuk baik pulih jeriji PPR Desa Mutiara
JOHOR BAHRU - Sebanyak RM3 juta diperuntukkan kerajaan negeri bagi membaik pulih jeriji penghadang di setiap blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di sini, susulan insiden seorang kanak-kanak perempuan terjatuh dari tingkat dua sehingga mengalami kecederaan kritikal, Ahad lalu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, peruntukan itu melibatkan penggantian dan penyelenggaraan 2,000 unit jeriji, terutama di koridor dan tangga setiap blok.
"PPR Desa Mutiara ini merupakan antara PPR tertua di Johor, ia siap dibina sejak 19 tahun lalu. Oleh itu, tidak dinafikan beberapa infrastrukturnya sudah berusia, selain turut rosak disebabkan vandalisme.
"Susulan itu, kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) telah mengeluarkan peruntukan khas bagi menggantikan bukan sahaja jeriji penghadang, tetapi juga pemegang besi tangga," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat lokasi kejadian di Taman Desa Mutiara, di sini pada Selasa.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai keadaan mangsa, Mohd Jafni memberitahu kanak-kanak berusia 9 tahun itu masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah kerana mengalami pendarahan di dalam kepala.
"Difahamkan kanak-kanak tersebut sudah semakin stabil selepas dibawa mendapatkan rawatan hospital," katanya
Dalam pada itu, Mohd Jafni menjelaskan, pihaknya juga akan memfokuskan PPR lain serta Rumah Sewa Kerajaan Johor yang berusia 15 tahun ke atas, dengan keutamaan diberikan kepada penyelenggaraan infrastruktur serta penambahbaikan aspek keselamatan.
"Kita akan membuat penilaian keselamatan terhadap kira-kira 15,000 unit kediaman PPR dan kediaman Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di negeri ini khususnya yang telah berusia lebih 15 tahun.
"Kaedah dahulu jeriji penghadang itu ditanam ke lantai, jadi selepas perbincangan teknikal dibuat, jeriji baharu akan menggunakan kaedah tanam skru di lantai serta 'wall plug'. Kita anggar ia mampu menahan beban sehingga 200 kilogram," katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM3 juta untuk membaik pulih jeriji penghadang di Projek Perumahan Rakyat Desa Mutiara susulan insiden kanak-kanak terjatuh
- Peruntukan ini melibatkan penggantian dan penyelenggaraan 2,000 unit jeriji, khususnya di koridor dan tangga
- PPR Desa Mutiara adalah antara PPR tertua di Johor yang dibina 19 tahun lalu, dengan infrastruktur yang berusia dan rosak akibat vandalisme
- Sebuah peruntukan khas dikeluarkan untuk menggantikan jeriji penghadang dan pemegang besi tangga
- Kerajaan negeri juga akan memfokuskan pada penyelenggaraan infrastruktur dan penambahbaikan aspek keselamatan untuk PPR dan Rumah Sewa Kerajaan Johor yang berusia lebih dari 15 tahun
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

