1.1 juta sarapan percuma, Budimas terus santuni kanak-kanak kurang bernasib baik

Pengerusi The Budimas Charitable Foundation YM Tunku Datuk Yaacob Khyra (lima kanan) turut bersama dalam majlis berkenaan di W Hotel Kuala Lumpur.
Pengerusi The Budimas Charitable Foundation YM Tunku Datuk Yaacob Khyra (lima kanan) turut bersama dalam majlis berkenaan di W Hotel Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR — Yayasan Kebajikan Budimas (Budimas) berjaya mencatat pencapaian besar apabila berjaya menghidangkan lebih 1.1 juta sarapan pagi berkhasiat kepada murid sekolah rendah melalui inisiatif Budimas Food Charity Fund (BFCF).

Inisiatif itu terus memainkan peranan penting dalam menangani masalah kekurangan makanan kanak-kanak dan meningkatkan prestasi pembelajaran dengan memastikan setiap murid memulakan hari persekolahan dalam keadaan kenyang, sihat dan bersedia untuk belajar.

Pengerusi The Budimas Charitable Foundation, YM Tunku Datuk Yaacob Khyra berkata, bagaimana kanak-kanak dibantu adalah tenaga teras di sebalik bantuan Budimas.

"Ia adalah pemacu misi dan tunjang utama kepada semangat perjuangan kami,” katanya.

Terdahulu, Yayasan Amalan Budimas atau The Budimas Charitable Foundation telah menganjurkan Night of a Thousand Blessings, A Christmas Charity Ball edisi ke-7, sebuah majlis makan malam amal untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan kanak-kanak Orang Asli di seluruh Malaysia.

Majlis yang berlangsung di W Hotel Kuala Lumpur itu menghimpunkan lebih 400 tetamu yang terdiri daripada rakan korporat, sekali gus berjaya mengumpul RM687,833.

Usaha berkenaan dilihat sebagai langkah penting dalam membina platform kukuh untuk menbantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik di Malaysia.

Majlis makan malam itu menjadi peringatan bahawa ihsan mampu mengubah kehidupan kanak-kanak, daripada kemurahan hati para penderma, lahirnya makanan yang cukup, pendidikan yang berkualiti, perlindungan dan penjagaan untuk generasi masa depan.

Budimas menyeru individu, organisasi dan komuniti untuk berganding bahu membina sebuah Malaysia yang mana setiap kanak-kanak berpeluang untuk membesar dan berjaya.

Artikel Berkaitan:

Program-program teras Budimas antaranya, Budimas Home Charity Fund (BHCF) , Budimas Food Charity Fund (BFCF), Budimas Education Charity Fund (BECF) dan Budimas Children Medical Care Fund (BCMCF).

Sementara itu, pada tahun 2025, Budimas memperkenalkan dua program baharu iaitu Project Impianmu yang menjalankan program pendidikan dan menawarkan biasiswa universiti sepenuhnya kepada golongan belia Orang Asli yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi tidak mempunyai akses untuk menyambung pengajian tinggi.

Selain itu, Project Melur merupakan sebuah inisiatif pendidikan kesihatan khusus bagi remaja perempuan yang telah memberi manfaat kepada 500 kanak-kanak perempuan di 25 rumah kebajikan, merangkumi modul kesedaran tubuh badan dan keselamatan diri.

Ringkasan AI

  • Yayasan Kebajikan Budimas berjaya menghidangkan lebih 1.1 juta sarapan pagi berkhasiat kepada murid sekolah rendah melalui inisiatif Budimas Food Charity Fund
  • Inisiatif tersebut memainkan peranan penting dalam menangani masalah kekurangan makanan kanak-kanak dan meningkatkan prestasi pembelajaran
  • Majlis Night of a Thousand Blessings, A Christmas Charity Ball edisi ke-7 berjaya mengumpul RM687,833 untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik
  • Budimas memperkenalkan dua program baharu pada tahun 2025, Project Impianmu untuk pendidikan dan biasiswa bagi Orang Asli selain Project Melur untuk pendidikan kesihatan remaja perempuan
  • Budimas mengajak individu, organisasi dan komuniti untuk membantu memastikan setiap kanak-kanak di Malaysia mempunyai peluang untuk membesar serta berjaya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!