Penunggang maut, motosikal terbakar sejurus kemalangan

KOTA BHARU – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbakar sejurus terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di hadapan stesen minyak di Kok Lanas, awal pagi Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal dipercayai berlanggar dengan sebuah kereta jenis Honda sebelum kenderaannya terbakar.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Pegawai Bomba Kanan II Wan Azmi Wan Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ketereh dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan tiba di lokasi pada jam 3.57 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan motosikal dan sebuah kereta.
“Akibat pelanggaran itu, motosikal terbakar dan penunggangnya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi melibatkan lima anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah unit EMRS.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbakar akibat kemalangan dengan kereta di Kok Lanas
- Kejadian berlaku pada jam 3.40 pagi dan melibatkan sebuah motosikal dan kereta jenis Honda
- Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh menerima panggilan kecemasan dan sepasukan anggota dihantar ke lokasi
- Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat motosikal terbakar
- Operasi penyelamatan melibatkan lima anggota bomba bersama jentera FRT dan unit EMRS
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

