Solidariti terhadap Arun tidak wakili pendirian DAP

Arun (dua dari kanan) berbual bersama Kulasegaran (kanan) sambil ditemani barisan peguamnya.
Arun (dua dari kanan) berbual bersama Kulasegaran (kanan) sambil ditemani barisan peguamnya.
A
A
A

SHAH ALAM – DAP menegaskan bahawa sebarang tindakan solidariti terhadap aktivis, Arun Doraisamy tidak mewakili pendirian parti itu.

Penegasan tersebut dibuat oleh empat Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, iaitu Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman (Ahli Parlimen Bentong), Syahredzan Johan (Ahli Parlimen Bangi) dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.

Ia susulan polemik yang timbul berhubung kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran bertemu individu itu pada Selasa.

"Kami juga ingin mengesahkan bahawa tiada sebarang keputusan parti untuk menyatakan sebarang kecenderungan terhadap isu ini.

"Justeru, apa juga tindakan solidariti terhadap Arun Doraisamy tidak mewakili pendirian DAP," kata mereka dalam satu kenyataan bersama pada Rabu.

Sebelum ini, Arun, 56, dilihat ditemani Kulasegaran dan barisan peguamnya tiba di mahkamah bagi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan sebuah video di aplikasi WhatsApp.

Dalam perkembangan sama, mereka menghormati Kulasegaran sebagai veteran parti, namun turut menyatakan ketidaksetujuan terhadap tindakan Timbalan Menteri yang hadir ke mahkamah bertemu Arun.

"Lebih-lebih lagi beliau sedang menggalas kapasiti sebagai seorang Timbalan Menteri Kerajaan Madani. Tindakan tersebut telah mengundang polemik awam mengenai integriti sistem perundangan negara," menurut mereka.

Jelas mereka, kedudukan tersebut menuntut tahap kepekaan yang lebih tinggi terhadap persepsi awam, khususnya berkaitan prinsip bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut berpendirian bahawa DAP harus mengambil pendekatan jalan tengah, iaitu mempertahankan prinsip keadilan dan “innocent until proven guilty” serta keabsahan proses undang-undang.

"Pada masa yang sama, mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan persepsi campur tangan atau keberpihakan," ujar mereka.

Ringkasan AI

  • DAP menegaskan tindakan solidariti terhadap Arun Doraisamy tidak mewakili pendirian parti
  • Kehadiran M Kulasegaran di mahkamah bersama Arun mencetus polemik
  • Tiada keputusan parti mengenai kecenderungan terhadap isu ini
  • Timbalan Menteri Kulasegaran dikritik kerana tindakannya dianggap mengundang polemik integriti sistem perundangan
  • DAP berpendirian keadilan dan proses undang-undang harus diutamakan tanpa menimbulkan persepsi campur tangan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!