Kulasegaran nafi hadir prosiding Arun, hanya bertemu di luar mahkamah

Kulasegaran (kanan) menegaskan beliau tidak berada di dalam mahkamah semasa prosiding yang melibatkan Arun, sebaliknya hanya sempat bertemu secara singkat di luar Kompleks Mahkamah Majistret Jawi di Nibong Tebal.
Kulasegaran (kanan) menegaskan beliau tidak berada di dalam mahkamah semasa prosiding yang melibatkan Arun, sebaliknya hanya sempat bertemu secara singkat di luar Kompleks Mahkamah Majistret Jawi di Nibong Tebal.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran menegaskan beliau tidak berada di dalam mahkamah semasa prosiding yang melibatkan aktivis Arun Dorasamy, sebaliknya hanya sempat bertemu secara singkat di luar Kompleks Mahkamah Majistret Jawi di Nibong Tebal.

Beliau berkata, kunjungannya ke mahkamah adalah semasa dalam perjalanan pulang dari Pulau Pinang, dengan tujuan bertemu Arun dan memberi dorongan supaya mempercayai proses perundangan semasa menghadapi prosiding yang akan datang.

"Saya telah mengenali Arun sejak mewakili Indira Gandhi dalam cabaran undang-undang berkaitan penjagaan anak-anaknya.

"Saya ingin menjelaskan bahawa saya hanya bertemu Arun seketika di kawasan kompleks mahkamah sebelum meninggalkan tempat itu. Saya tidak berada di kamar mahkamah semasa pertuduhan dibacakan dan prosiding dijalankan,” jelas Kulasegaran dalam satu kenyataan pada Selasa.

Arun, 56, mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat kenyataan di media sosial dengan niat menimbulkan kegusaran orang ramai pada Mac tahun lepas.

Terdahulu, Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut penjelasan daripada Kulasegaran berhubung kehadirannya bersama Arun di Mahkamah Majistret Jawi.

Pengerusinya, Amidi Abdul Manan dalam kenyataan media berkata, kehadiran Ahli Parlimen Ipoh Barat itu, walaupun atas kapasiti peribadi mengundang pelbagai tafsiran serta boleh menjejaskan persepsi awam terhadap kerajaan memandangkan beliau merupakan anggota pentadbiran. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kulasegaran tidak berada di dalam mahkamah semasa prosiding yang melibatkan aktivis Arun Dorasamy tetapi bertemu secara singkat di luar kompleks mahkamah
  • Kunjungan Kulasegaran ke mahkamah bertujuan memberi dorongan kepada Arun dalam menghadapi prosiding perundangan
  • Kulasegaran mengenali Arun sejak kes Indira Gandhi berkaitan penjagaan anak
  • Arun Dorasamy mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat kenyataan di media sosial yang menimbulkan kegusaran
  • Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR menuntut penjelasan dari Kulasegaran mengenai kehadirannya di mahkamah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!