Sultan Nazrin berkenan terima menghadap Ramanan

Sultan Nazrin (tengah) berkenan menerima menghadap Ramanan (tiga dari kanan) serta delegasi Kementerian Sumber Manusia di Istana Perak pada Isnin.
Sultan Nazrin (tengah) berkenan menerima menghadap Ramanan (tiga dari kanan) serta delegasi Kementerian Sumber Manusia di Istana Perak pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima sembah menghadap Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan di Istana Perak pada Isnin.

Dalam sesi menghadap tersebut, Ramanan mempersembahkan taklimat kepada baginda mengenai status terkini pembinaan sebuah Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang baharu di Ipoh.

Menurutnya, taklimat itu turut melibatkan cadangan nama pusat rehabilitasi berkenaan serta permohonan perkenan baginda untuk mencemar duli merasmikan pusat tersebut pada tarikh yang akan ditetapkan.

"Patik menjunjung kasih atas perkenan Sultan Perak menerima sembah menghadap serta atas keprihatinan Tuanku terhadap pelaksanaan inisiatif dan program yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Sesungguhnya segala nasihat dan pandangan Tuanku amat bermakna serta menjadi panduan dalam memastikan setiap inisiatif yang dirangka dapat dilaksanakan dengan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Hadir sama dalam sesi berkenaan ialah Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Tan Sri Mohd Annuar Zaini; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) Kementerian Sumber Manusia Malaysia, Dr Mohd Shaharin Umar; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed serta Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO, Datuk Dr Hafez Hussain.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima sembah menghadap Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan di Istana Perak
  • Ramanan mempersembahkan taklimat tentang pembinaan pusat rehabilisasi PERKESO baru di Ipoh
  • Cadangan nama untuk pusat rehabilitasi itu diperbincangkan dan permohonan untuk Sultan merasmikannya
  • Ramanan mengucapkan terima kasih kepada Sultan Perak atas penerimaan dan keprihatinannya terhadap program yang bermanfaat bagi rakyat
  • Sesi tersebut turut dihadiri oleh pelbagai pihak termasuk Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak serta pegawai kanan PERKESO

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!