Hukuman lebih berat terhadap pencuri kabel pengangkutan rel - MOT

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya undang-undang sedia ada dipinda agar hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah kes kecurian kabel Transit Aliran Massa (MRT).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kecurian kabel pengangkutan rel tidak boleh dianggap sebagai kes kecurian biasa kerana ia berpotensi mengancam keselamatan orang ramai, malah menjejaskan operasi sistem pengangkutan awam.
“Dalam pertemuan Disember lalu, kami telah mencadangkan kepada pihak KDN untuk meminda undang-undang sedia ada supaya hukuman lebih berat dikenakan ke atas pencuri kabel," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pakar Kriminalogi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim mendesak agar kerajaan meminda undang- undang yang membolehkan hukuman lebih berat dikenakan ke atas pesalah pencuri kabel tren.
Menurutnya, ketidakseimbangan antara hukuman denda dan kerugian sebenar akibat kecurian kabel di Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) ataupun projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menunjukkan keperluan semakan semula terhadap peruntukan hukuman sedia ada.
Pada Ahad, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memaklumkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya memberkas empat suspek yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel MRT Laluan Putrajaya menerusi satu operasi yang dijalankan baru-baru ini.
Penahanan itu dibuat susulan laporan polis oleh Prasarana berhubung kejadian kecurian kabel yang berlaku berhampiran Stesen Sri Damansara Barat pada 3 Mac lepas.
Insiden berkenaan telah menyebabkan gangguan kepada operasi perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari, sekali gus menimbulkan kesulitan kepada ribuan pengguna pengangkutan awam.
Ringkasan AI
- Kementerian Pengangkutan mengemukakan cadangan meminda undang-undang sedia ada untuk hukuman lebih berat terhadap pesalah kecurian kabel MRT
- Kecurian kabel dianggap serius kerana mengancam keselamatan orang ramai dan operasi pengangkutan awam
- Cadangan hukuman lebih berat bagi pencuri kabel telah dibincangkan dengan Kementerian Dalam Negeri
- Pakar mendesak peninjauan semula peruntukan hukuman kerana ketidakseimbangan antara hukuman denda dan kerugian akibat kecurian
- Prasarana Malaysia Berhad melaporkan penahanan empat suspek kecurian kabel yang sebabkan gangguan kepada operasi MRT Laluan Putrajaya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

