Juruteknik akses tali kerjaya berisiko tinggi tapi gaji lumayan

Tugas seorang juruteknik akses tali adalah menggunakan teknik tali untuk mengakses kawasan yang sukar dicapai menggunakan tangga atau perancah.
Tugas seorang juruteknik akses tali adalah menggunakan teknik tali untuk mengakses kawasan yang sukar dicapai menggunakan tangga atau perancah.
A
A
A

SHAH ALAM – Walaupun berdepan risiko tinggi dan memerlukan kekuatan mental serta fizikal, kerjaya sebagai 'rope access technician' atau juruteknik akses tali mampu menawarkan pendapatan lumayan kepada mereka yang berani menceburi bidang tersebut.

Bagi anak jati Hulu Selangor, Muhammad Nasrullah Abu Bakar, 27, pengalaman hampir empat tahun dalam bidang akses tali memberinya peluang bekerja secara bebas (freelance) dengan pelbagai syarikat yang memerlukan kepakaran tersebut.

Menurutnya, sebagai pekerja bebas beliau tidak terikat dengan mana-mana syarikat dan hanya menerima tawaran kerja sekiranya kadar bayaran yang ditawarkan berbaloi.

“Bagi saya konsepnya mudah iaitu 'high risk, high reward'.

“Biasanya kadar bayaran bagi kerja ini sekitar RM350 hingga RM650 sehari, bergantung kepada jenis kerja dan projek yang dijalankan," katanya kepada Sinar Harian.

Nasrullah yang juga anak sulung daripada lima beradik berkata, tugas seorang juruteknik akses tali adalah menggunakan teknik tali untuk mengakses kawasan yang sukar dicapai menggunakan tangga atau perancah.

Jelasnya, dari segi mental dan fizikal, seseorang itu perlu membuat persediaan rapi bagi mengelakkan sebarang kemalangan dan kejadian tidak diingini.

"Selain itu, faktor peralatan juga sangat penting. Peralatan yang digunakan mestilah dalam keadaan terbaik (top notch).

"Kerosakan atau kegagalan peralatan merupakan antara risiko yang sangat dititikberatkan. Secara umumnya, kerja kami memang dikategorikan sebagai berisiko tinggi kerana melibatkan kerja di ketinggian yang ekstrem," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, untuk menjadi juruteknik dalam bidang itu, seseorang perlu mengikuti latihan khas dan mendapatkan pensijilan yang diiktiraf oleh Industrial Rope Access Trade Association (IRATA), iaitu badan antarabangsa yang mengawal selia standard kerja akses tali.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat dalam industri minyak dan gas, pekerjaan ini sebenarnya sudah lama dikenali terutamanya di kawasan Pantai Timur, Melaka dan Pengerang yang mempunyai banyak sektor oil and gas.

"Selain itu, sektor perkapalan juga banyak menggunakan kemahiran abseiling. Kemahiran ini juga digunakan untuk kerja mencuci facade bangunan.

"Sebenarnya teknik ini sudah lama digunakan dalam sektor industri, malah pihak ketenteraan dan bomba juga menggunakan teknik abseiling ini," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan anak muda yang berminat supaya berani mencuba bidang tersebut kerana ia menawarkan peluang kerjaya yang baik.

“Jika berminat, pastikan mengikuti saluran yang betul dengan mendapatkan latihan serta pensijilan yang diiktiraf sebelum menceburi bidang ini,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kerjaya sebagai juruteknik akses tali menawarkan pendapatan lumayan walaupun berisiko tinggi
  • Muhammad Nasrullah bekerja secara freelance dalam bidang ini dengan pengalaman hampir empat tahun
  • Kadar bayaran sekitar RM350 hingga RM650 sehari, bergantung kepada projek
  • Kerja juruteknik akses tali melibatkan penggunaan teknik tali untuk mengakses kawasan sukar dicapai
  • Penting untuk memiliki pensijilan yang diiktiraf oleh Industrial Rope Access Trade Association (IRATA) sebelum menceburi bidang ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!