'Saya masih harap dapat bertemu Nini' - Luah ibu Sharlinie yang hampir dua dekad hilang

DUNGUN - Hampir 20 tahun selepas Sharlinie Mohd Nashar hilang dalam kejadian yang menggemparkan negara, ibunya masih tabah menanti kepulangan anak perempuannya itu ke pangkuan keluarga.
Suraya Ahmad, 46, berkata setiap hari beliau berdoa agar dapat bertemu semula dengan anaknya itu yang hilang ketika berusia empat tahun di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Jan 2008.
"Saya masih mengharapkan dapat bertemu Nini (Sharlinie) dalam keadaan selamat dan sihat. Nini yang dilahirkan pada 30 Jan 2004 telah berusia 22 tahun.
"Jika ditakdirkan kami dipertemukan semula, saya yakin masih dapat mengenalinya kerana wajahnya hampir sama dengan anak kedua saya, Sharliena yang kini berusia 26 tahun,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Pulut di sini pada Sabtu.
Suraya yang kini bergelar ibu tunggal selepas berpisah dengan bekas suami, Mohd Nashar Mat, 48, pada 2018 mengakui kerinduannya terhadap Sharlinie yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik semakin terasa setiap kali menjelang Aidilfitri.
Katanya, Sharlinie sentiasa ceria setiap kali menyambut Aidilfitri dan begitu teruja memperagakan pakaian baharu yang dibelikan.

"Sejak dia (Sharlinie) hilang, sambutan Aidilfitri terasa seperti ada yang tidak lengkap,” katanya.
Pada masa ini katanya, beliau hanya mampu melepaskan rindu terhadap Sharlinie dengan menatap gambar anaknya itu serta mengusap dua pasang pakaian berwarna merah jambu dan kuning yang sering dipakai Sharlinie, yang masih disimpan hingga kini.
Bagaimanapun Suraya berkata, kerinduannya terhadap Sharlinie sedikit terubat apabila tiga lagi anaknya sangat rapat dan mesra dengannya selain kehadiran dua cucu lelaki yang masing-masing berusia empat dan dua tahun yang turut menceriakan hidupnya.
Ditanya mengenai kehidupannya pada masa ini Suraya berkata beliau kini bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah kedai makan berhampiran rumahnya bagi menyara keluarga.
Katanya, beliau turut menghasilkan dan menjual kerepek pisang secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan.
Kehilangan Sharlinie pada 2008 mengejutkan seluruh negara apabila kejadian itu berlaku ketika kanak-kanak tersebut bersama kakaknya, Sharliena, dalam perjalanan pulang ke rumah dari taman permainan, kira-kira 200 meter dari rumah sewa keluarga mereka di Taman Medan, Petaling Jaya.
Walaupun beribu-ribu poster mengenai kehilangannya diedarkan dan usaha pelbagai pihak untuk mencarinya dilakukan namun tiada sebarang maklumat mengenai keberadaan Sharlinie hingga kini. - Bernama
Ringkasan AI
- Sharlinie Mohd Nashar hilang pada usia empat tahun di Taman Medan, Petaling Jaya pada 9 Jan 2008
- Ibunya, Suraya Ahmad, masih berdoa untuk bertemu kembali dengan anaknya yang kini sepatutnya berusia 22 tahun
- Suraya merasakan kerinduan yang mendalam terutama ketika sambutan Aidilfitri, merasakan ada yang tidak lengkap
- Wajah Sharlinie dikatakan hampir sama dengan anak kedua Suraya, Sharliena yang kini berusia 26 tahun
- Suraya kini bekerja sebagai pembantu kedai dan menghasilkan kerepek pisang untuk menyara keluarga sambil menanti kepulangan Sharlinie
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
