Peguam Yayasan Kubra nafi mahkamah arah henti sementara kerja roboh kuil

Muhammad Hariz
Muhammad Hariz
A
A
A

SHAH ALAM - Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff menafikan Mahkamah Majistret Selayang memerintahkan kerja-kerja merobohkan Kuil Sri Uchimalai Muniswaran di Taman Rawang Perdana dihentikan sementara, sehingga isu itu diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam seperti dilapor media.

Beliau menegaskan, berdasarkan prosiding yang berlangsung pada Jumaat, mahkamah berpuas hati bahawa terdapat aduan berkaitan pertikaian harta tak alih di Rawang serta kewujudan sebuah kuil di lokasi berkenaan sejak 1995, manakala pemilik berdaftar memperoleh tanah itu sekitar tahun 2021.

Katanya lagi, mahkamah juga berpandangan pertikaian tersebut berpotensi menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat setempat sekiranya tidak ditangani.

"Maka di sini, mahkamah memerintahkan pihak-pihak terlibat pertikaian ini hendaklah hadir ke mahkamah untuk satu pendengaran di bawah Seksyen 99(4) Kanun Tatacara Jenayah

"Pihak-pihak hendaklah memfailkan dan menyerahkan kenyataan bertulis berkenaan pemilikan actual possession berkaitan tanah tersebut. (Pendengaran) akan dijalankan terhad kepada isu berkaitan actual possession iaitu milik sebenar sahaja. Mahkamah tidak akan menyentuh isu hak milik atau hak undang-undang berkenaan tanah tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook.

Muhammad Hariz berkata, beliau hairan dengan laporan media yang menyatakan Mahkamah Majistret Selayang mengarahkan kerja-kerja merobohkan kuil berkenaan dihentikan sementara.

"Apatah lagi terma perintah 'memerintahkan kerja-kerja merobohkan Kuil Sri Uchimalai Munisawaran di Taman Rawang Perdana dihentikan sementara sehingga isu itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.'

"Kenyataan di atas berkenaan kandungan terma perintah bersifat arahan halangan ini sama sekali mengelirukan kerana tiada sebarang perkataan atau perintah mahkamah tersebut dilafazkan oleh Majistret Selayang," katanya.

Sebelum ini, peguam yang mewakili pihak pengurusan Kuil Sri Uchimala Muniswaran, Rajesh Nagarajan dilaporkan berkata mahkamah memerintahkan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Majistret Chai Guan Hock membuat keputusan itu selepas mendapati wujud pertikaian berkaitan status pemilikan tanah terbabit.

Mengulas lanjut, Muhammad Hariz berkata, sebarang kenyataan mengelirukan atau manipulasi dengan memetik perintah mahkamah boleh dikenakan tindakan penghinaan institusi tersebut.

"Bagi tujuan tersebut, saya telah diarahkan anak guam untuk mendapatkan alasan penghakiman majistret termasuk nota prosiding mahkamah (CRT) bagi tujuan pemfailan semakan di Mahkamah Tinggi kelak.

"Yayasan Kubra menyeru semua pihak agar tidak memanipulasikan dan mengelirukan masyarakat dengan anggapan dan andaian bahawa mahkamah yang mengarahkan sedemikian sedemikian sedangkan tiada pun arahan dikeluarkan," katanya.

Beliau menambah, Yayasan Kubra juga bersedia mengemukakan fakta dan keterangan di mahkamah pada waktunya.

 

 

Ringkasan AI

  • Peguam Yayasan Kubra, Muhammad Hariz Md Yusoff menafikan laporan media mengenai penghentian sementara kerja meroboh kuil oleh Mahkamah Majistret Selayang
  • Mahkamah berpuas hati dengan aduan berkaitan pertikaian harta tak alih dan kewujudan kuil sejak 1995 sedangkan pemilik berdaftar dapat tanah itu pada tahun 2021
  • Mahkamah menekankan pentingnya menangani pertikaian untuk mengelakkan ketegangan dalam kalangan masyarakat
  • Perintah mahkamah meminta pihak-pihak terlibat dalam pertikaian hadir ke mahkamah untuk pendengaran berkenaan pemilikan sebenar tanah tanpa menyentuh isu hak milik
  • Peguam menegaskan keterangan mengelirukan tentang arahan penghentian kerja meroboh dapat dikenakan tindakan penghinaan mahkamah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!