Dari Teheran ke Shiraz: Perang dan ingatan sebuah peradaban

Persepolis, ibu kota empayar Achaemenid yang diasaskan oleh Darius 1 pada 518 sebelum masihi dan diperkasakan oleh Darius The Great. Gambar kecil: Syirfan Indra
Persepolis, ibu kota empayar Achaemenid yang diasaskan oleh Darius 1 pada 518 sebelum masihi dan diperkasakan oleh Darius The Great. Gambar kecil: Syirfan Indra
A
A
A

BEBERAPA tahun lalu, penulis pernah berdiri di sebuah persimpangan sibuk di Teheran pada pagi yang dingin. Bandar itu baru bangun. Sebuah kedai roti kecil di tepi jalan membuka pintunya dan bau roti panas memenuhi udara sejuk kota.

Orang ramai berjalan laju sementara di kejauhan banjaran Alborz berdiri seperti dinding batu yang memagari kota ini daripada langit musim sejuk.

Teheran terasa seperti kota yang hidup di antara dua zaman.

Di satu sisi, ia adalah metropolis moden dengan universiti besar lagi terkenal, teknologi, dan generasi muda yang bergerak pantas dengan telefon pintar di tangan.

Tetapi pada masa yang sama, ada sesuatu yang lebih tua berlegar dalam udara kota itu seolah-olah sejarah panjang Iran tidak pernah benar-benar meninggalkan tempat ini.

Apabila dunia hari ini bercakap tentang konflik Iran, Israel dan Amerika Syarikat, kebanyakan laporan berita memberi tumpuan kepada peluru berpandu, sekatan ekonomi dan strategi ketenteraan.

Namun bagi sesiapa yang pernah sampai ke Iran, gambaran itu terasa terlalu sempit. Iran tidak mudah difahami hanya melalui tajuk berita.

Penyair besar Iran, Saadi Shirazi pernah menulis bait yang terkenal di seluruh dunia dan Penyair sufi terkenal Iran, Jalaluddin Rumi (kanan)
Penyair besar Iran, Saadi Shirazi pernah menulis bait yang terkenal di seluruh dunia dan Penyair sufi terkenal Iran, Jalaluddin Rumi (kanan)

Artikel Berkaitan:

Ia adalah sebuah peradaban.

Iran hari ini mempunyai lebih 90 juta penduduk dan merupakan antara ekonomi terbesar di Asia Barat. Negara ini juga memiliki antara rizab gas asli terbesar dunia serta rizab minyak yang besar. Kedudukannya di Teluk Parsi menjadikan negara ini pemain penting dalam geopolitik tenaga global.

Tidak jauh dari pantai Iran terletak Selat Hormuz, laluan laut sempit yang menjadi arteri kepada hampir 20 peratus perdagangan minyak dunia.

Setiap hari kapal tangki besar melintasi laluan ini membawa tenaga yang menggerakkan ekonomi global.

Sebab itu setiap kali ketegangan meningkat di rantau ini, dunia menjadi gelisah. Harga minyak melonjak, pasaran kewangan bergetar dan negara-negara besar mula mengira kesan yang mungkin berlaku kepada ekonomi mereka.

Namun ketika berada di Iran, geopolitik dunia terasa jauh lebih kompleks daripada angka atau statistik.

Beberapa hari selepas tiba di Teheran, penulis bergerak ke selatan menuju Shiraz. Perjalanan itu membuka wajah Iran yang berbeza. Gunung-ganang luas terbentang di kaki langit, dataran kering memanjang seperti laut tanah dan bandar-bandar lama muncul di tengah perjalanan dengan tenang.

Tidak jauh dari Shiraz berdiri runtuhan Persepolis, ibu kota empayar Achaemenid yang diasaskan oleh Darius 1 pada 518 sebelum masihi dan diperkasakan oleh Darius The Great selepas itu.

Kota yang pernah dikunjungi Alexander The Great dalam gerakan ketenteraan ke Timur.

Pada waktu petang, ketika matahari mula condong, bayang-bayang tiang batu Persepolis memanjang di atas tanah yang sunyi. Relief ukiran pada dinding menunjukkan delegasi dari pelbagai bangsa Mesir, Babylon, Lydia, India datang membawa hadiah kepada raja Parsi.

Di tempat seperti ini seseorang mula memahami sesuatu yang jarang disebut dalam analisis geopolitik moden.

Dunia sebenarnya sudah lama saling terhubung dan memperakui Parsi.

Pada kemuncaknya, empayar Parsi menguasai wilayah luas dari Mesir hingga ke Asia Tengah. Ia bukan sekadar empayar tentera.

Dalam banyak catatan sejarah, pemerintahan Cyrus sering dikenang kerana pendekatan pentadbiran yang memberi ruang kepada masyarakat tempatan mengekalkan agama dan budaya mereka.

Di Persepolis, sejarah terasa sangat dekat. Batu-batu runtuh itu seperti halaman buku lama yang masih terbuka.

Konflik geopolitik yang melibatkan Iran pada abad ke-21 banyak berkait dengan program nuklear negara itu, sekatan ekonomi Barat serta persaingan strategik dengan Israel dan Amerika Syarikat.

Ketegangan ini sering muncul dalam bentuk ancaman ketenteraan, operasi dron dan peperangan bayangan di Asia Barat.

Namun ketika penulis berada di Shiraz, realiti geopolitik itu terasa jauh.

Shiraz dikenali sebagai kota penyair. Di sinilah lahir tokoh besar seperti Hafez dan Saadi, yang karya mereka masih hidup dalam budaya masyarakat Iran.

Pada suatu malam, penulis melihat sekumpulan anak muda duduk di taman berhampiran makam Hafez. Mereka membuka buku puisinya dan membaca bait-baitnya.

Seorang lelaki tua yang duduk berhampiran penulis tiba-tiba tersenyum dan berkata perlahan dalam bahasa Inggeris, “Di Iran, jika kamu mahu memahami hati manusia, kamu perlu membaca puisi.”

Di negara ini, puisi bukan sekadar karya sastera. Ia adalah cara memahami dunia.

Penyair sufi terkenal Iran, Jalaluddin Rumi pernah menulis, “di luar segala tafsiran tentang salah dan benar,ada sebuah padang yang luas. Di situlah kita akan bertemu.”

Bait itu sering dibaca sebagai seruan untuk melampaui konflik manusia. Dalam dunia yang dipenuhi persaingan kuasa dan ideologi, kata-kata Rumi terasa seperti suara lama yang datang dari masa lalu.

Seorang lagi penyair besar Iran, Saadi Shirazi, menulis bait yang kini terkenal di seluruh dunia, “Manusia adalah anggota daripada satu tubuh yang sama, diciptakan daripada jiwa dan hakikat yang satu.”

Bait puisi Saadi ini dipamerkan pada sebuah karpet Parsi di ibu pejabat PBB. Satu indikasi bahawa idea kemanusiaan dari tamadun lama masih relevan dalam dunia moden.

Ketika meninggalkan Persepolis, matahari hampir tenggelam di balik dataran luas Iran. Tiang-tiang batu berdiri diam dalam cahaya jingga senja, seolah-olah menyimpan cerita yang terlalu panjang untuk diceritakan sepenuhnya.

Pada saat itu, satu perkara terasa sangat jelas.

Teknologi perang berubah dengan pantas. Empayar dahulu menggunakan kuda dan pedang. Empayar moden menggunakan satelit, jet pejuang dan peluru berpandu.

Namun soalan sejarah tidak banyak berubah. Siapa menguasai wilayah. Siapa menentukan keseimbangan kuasa dan siapa akhirnya menulis sejarah.

Perjalanan dari Teheran ke Shiraz bukan sekadar perjalanan geografi. Ia seperti berjalan melalui lapisan masa. Di satu sisi terdapat negara moden yang sedang berhadapan dengan geopolitik global.

Di sisi lain terdapat sebuah peradaban lama yang masih hidup melalui sejarah, puisi dan ingatan masyarakatnya.

Mungkin sebab itulah setiap kali Iran muncul dalam berita dunia, ia jarang sekadar kisah politik semasa.

Di sebalik konflik dan strategi kuasa, sebenarnya terdapat cerita yang lebih panjang. Cerita tentang sebuah tamadun lama yang telah lama belajar hidup bersama sejarah.

*Syirfan Indra Mitra Surya Hussin ialah penyelidik dalam bidang media dan komunikasi, dengan kepakaran yang memfokuskan kepada kewartawanan baharu, komunikasi strategik dan industri kreatif

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!