'Enam jari’ cetus teori konspirasi klon Netanyahu

[DIKEMAS KINI] Klip pendek memaparkan kemunculan terbaharu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Khamis lalu telah mencetuskan gelombang teori konspirasi.
Sebahagian warganet mempersoalkan jari tambahan pemimpin 'ekstremis' tersebut yang dipercayai hasil janaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ada juga pentaasub teori konspirasi yang percaya individu tersebut merupakan 'klon' Netanyahu untuk mengaburi mata komuniti antarabangsa mengenai status terkininya selepas khabar angin tentang kematiannya tersebar.
Spekulasi itu bermula selepas pengguna media sosial berkongsi tangkapan layar ucapannya dan turut mengezum masuk pada tangan kanannya.
Ruangan komen kemudiannya menjadi medan perdebatan dalam kalangan warganet yang mempersoalkan keaslian video tersebut termasuk dakwaan kononnya terdapat ‘enam jari’ pada tangan kanannya yang dipercayai berpunca daripada kesilapan AI.
Analisis dan semakan fakta ke atas video tersebut seperti dijelaskan International Business Times UK mendapati ia tidak dimanipulasi dan berkemungkinan hanya menunjukkan kesan kabur pergerakan (motion blur) dan artifak pemampatan (compression artefacts) yang biasa berlaku dalam rakaman digital.
Artifak pemampatan (compression artefacts) dikatakan boleh menyebabkan jari yang bergerak pantas dalam video kelihatan seolah-olah berganda atau bercantum dalam tangkap layar.
Sehingga kini, keadaan sebenar Netanyahu masih tidak diketahui selepas timbul khabar angin pemimpin terpalit kes rasuah itu mungkin terbunuh atau cedera dalam serangan dilancarkan Iran pada awal bulan lalu.
Rangkaian media di Teheran bagaimanapun mempercayai laporan tersebut berdasarkan beberapa petunjuk tidak langsung termasuk peningkatan kawalan keselamatan yang ketat di sekitar kediamannya serta penangguhan lawatan delegasi Amerika Syarikat (AS) ke Israel. - Agensi
Ringkasan AI
- Klip pendek memaparkan kemunculan terbaharu Benjamin Netanyahu telah mencetuskan gelombang teori konspirasi
- Sebahagian warganet mempersoalkan jari tambahan pada tangan Netanyahu yang dipercayai hasil janaan teknologi AI
- Spekulasi berkembang bahawa individu dalam klip tersebut merupakan 'klon' Netanyahu
- Analisis mendapati video tersebut tidak dimanipulasi dan kesan 'enam jari' mungkin disebabkan oleh motion blur dan artifak pemampatan
- Keadaan sebenar Netanyahu masih tidak diketahui selepas timbul khabar angin tentang kemungkinan beliau terbunuh atau cedera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

