Berbuka puasa di dalam hutan

Antara peserta yang menyertai GeoIftar 4.0 yang diadakan di Forest 8 Senses Campsite, Tanjung Malim, Perak.
Antara peserta yang menyertai GeoIftar 4.0 yang diadakan di Forest 8 Senses Campsite, Tanjung Malim, Perak.
A
A
A

BERBUKA puasa di dalam hutan ditemani bunyi alam semula jadi pastinya memberikan pengalaman yang berbeza.

Itulah konsep unik dan menarik yang diketengahkan oleh sebuah organisasi Gerbang Explore Enterprise (GEO) yang menganjurkan program berbuka puasa dengan konsep perkhemahan di hutan.

Bertempat di Forest 8 Senses Campsite, Tanjung Malim, Perak, seramai 230 peserta menyertai program ini yang kini sudah memasuki tahun keempat penganjuran.

Ahli GEO yang bertanggungjawab menjayakan majlis berbuka puasa di dalam hutan.
Ahli GEO yang bertanggungjawab menjayakan majlis berbuka puasa di dalam hutan.

Program yang lebih dikenali sebagai GeoIftar 4.0 ini diadakan setiap tahun di bulan Ramadan sebagai salah satu inisiatif bagi memperkukuh nilai kebersamaan dan semangat komuniti melalui aktiviti berbuka puasa di luar.

Sejak penganjuran sulungnya pada 2023, GEO Iftar berjaya dilaksanakan secara konsisten selama tiga tahun berturut-turut dengan sambutan amat menggalakkan daripada peserta.

Program awalnya bermula di Buloh Perindu Campsite, Kuala Kubu Bharu, Selangor pada 2023 kemudian diadakan di Kalumpang Resort & Training Centre, Kampung Pasir Putih, Selangor pada 2024 dan pada 2025 sekali lagi diadakan di Buloh Perindu Campsite.

Pada tahun ini, GeoIftar 4.0 diteruskan dengan konsep perkhemahan selama dua hari satu malam bermula pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Aktiviti unggun api antara yang diadakan pada GeoIftar 4.0 tahun ini.
Aktiviti unggun api antara yang diadakan pada GeoIftar 4.0 tahun ini.

Pengarah program, Muhammad Irfan Izzuddin Mohd Zainuri berkata, idea menganjurkan GEO Iftar bermula daripada minat ahli GEO yang sangat dekat dengan aktiviti luar.

“Dari situ tercetusnya idea untuk imarahkan suasana Ramadan dengan cara yang sedikit berbeza.

“Kami ingin memberikan pengalaman berbuka puasa yang unik di mana peserta bukan sahaja dapat menikmati berbuka puasa dalam suasana perkhemahan tetapi juga merasai solat tarawih, qiamullail, berbaju raya, bermain bunga api bersama ketenangan alam semula jadi sambil mengeratkan silaturahim antara komuniti yang hadir,” katanya.

Peserta GEO Iftar menunaikan solat berjemaah di Forest 8 Senses Campsite, Tanjung Malim, Perak.
Peserta GEO Iftar menunaikan solat berjemaah di Forest 8 Senses Campsite, Tanjung Malim, Perak.

Sementara itu Timbalan Pengarah, Nur Syahirah Saman berkata, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang dua hari satu malam itu antaranya cabutan bertuah, permainan berkumpulan yang menarik, bergambar memakai baju raya dan banyak lagi.

“Pada waktu malam pula, kami menjemput ustaz khas daripada Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia iaitu Rafie Undertaker untuk menyampaikan tazkirah Maghrib dan memimpin solat Tarawih berjemaah,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa program, Ashraf Nasarudin berkata, GeoIftar 4.0 kali ini membuat sedikit kelainan dengan memilih tapak perkhemahan yang lebih luas dan selesa untuk peserta.

“Kawasan ini mempunyai kemudahan lebih lengkap seperti ruang tapak khemah yang teratur, kawasan parkir banyak dan persekitaran kondusif untuk aktiviti berkumpulan.

Peserta sporting memakai baju raya.
Peserta sporting memakai baju raya.

“Kami turut menambah baik pengalaman peserta agar mereka bukan sahaja berbuka puasa, tetapi juga menikmati suasana berkhemah Ramadan yang lebih selesa, tersusun dan meriah bersama komuniti,” katanya.

Salah seorang peserta, Rossa berkata, program ini memberi pengalaman baharu buatnya lebih-lebih lagi sebagai seorang bukan Islam.

“Saya berpeluang berkenalan dengan kawan baharu dan berharap lebih banyak lagi program seperti ini dianjurkan.

“Saya percaya ramai mereka yang bukan Muslim berminat menyertai program sebegini,” katanya.

GEO merupakan organisasi yang aktif dalam menguruskan dan melaksanakan aktiviti lasak yang berfokus kepada aktiviti pendakian bukit dan gunung di Malaysia.

Dengan motto Start as Stranger, End as Family, tujuan organisasi ditubuhkan adalah bagi memudahkan mereka mendekati golongan muda di negara ini selaras dengan misi menggalakkan orang ramai melibatkan diri dengan aktiviti yang sihat dan berfaedah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!