Pengarah syarikat direman, disyaki minta dan terima rasuah seleweng tanah

SHAH ALAM - Seorang pengarah syarikat direman lima hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM100,000 daripada sebuah syarikat pemaju hartanah sebagai balasan menyerahkan tanah milik bekas pekerja sebuah ladang di negeri ini bagi tujuan pembangunan komersial.
Perintah reman sehingga 16 Mac terhadap suspek dikeluarkan Majistret Mohamad Suffian Jaafar selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Mahkamah Majistret Shah Alam di sini pada Khamis.
Menurut sumber, pengarah terbabit dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2020 hingga 2025 apabila menyerahkan tanah milik 136 bekas pekerja sebuah ladang di Hulu Selangor tanpa pengetahuan dan kebenaran mereka kepada sebuah syarikat pemaju.
"Suspek yang juga merupakan pemegang amanah ke atas tanah seluas kira-kira lapan ekar itu disyaki menerima wang rasuah berjumlah sekitar RM50,000 hingga RM100,000 beberapa kali dalam tempoh lima tahun.
"Ia sebagai balasan membantu menyerahkan tanah berkenaan bagi tujuan pembangunan komersial bernilai kira-kira RM4 juta," katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan kes terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an ditahan kira-kira jam 12.20 tengah hari, Rabu, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.
Ringkasan AI
- Seorang pengarah syarikat direman lima hari atas tuduhan rasuah RM100,000
- Rasuah sebagai balasan menyerahkan tanah bekas pekerja ladang untuk pembangunan komersial
- Perbuatan rasuah dilakukan dari tahun 2020 hingga 2025 di Hulu Selangor
- Suspek terima rasuah berjumlah RM50,000 hingga RM100,000 beberapa kali dalam lima tahun
- Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
