Inap desa jadi stor dadah, polis rampas 62kg syabu

Adzli (tiga dari kanan) menunjukkan bungkusan dipercayai mengandungi dadah syabu yang dirampas dari sebuah inap desa di Kampung Permatang Rengan di Kota Kuala Muda pada Selasa.
Adzli (tiga dari kanan) menunjukkan bungkusan dipercayai mengandungi dadah syabu yang dirampas dari sebuah inap desa di Kampung Permatang Rengan di Kota Kuala Muda pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI PETANI – Taktik licik sebuah sindiket dadah yang menjadikan sebuah inap desa sebagai stor terbongkar apabila polis merampas 62 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM3.1 juta pada Selasa.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 6.30 petang di Kampung Permatang Rengan di Kota Kuala Muda di sini selepas menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun di tepi jalan kampung berkenaan.

Menurutnya, pemeriksaan awal polis menemui 150 gram syabu serta kunci inap desa.

"Suspek kemudian dibawa ke sebuah inap desa berhampiran sebelum pemeriksaan lanjut menemui 62 kilogram syabu yang disorokkan di bawah katil dalam bilik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini pada Khamis.

Adzli berkata, suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif.

"Suspek dipercayai berada di negara ini sejak dua hingga tiga tahun lalu dan bekerja di kampung, namun polis masih menyiasat dokumen kemasukannya.

“Suspek dipercayai menjadi penjaga stor inap desa itu dengan bayaran sekitar RM116 bagi setiap kilogram dadah,” ujarnya

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Suspek kini direman tujuh hari sehingga 17 Mac di lokap Balai Polis Sungai Petani.

Artikel Berkaitan:

Tambah Adzli, susulan penahanan itu, polis turut menahan sepasang suami isteri berusia 42 dan 32 tahun yang dipercayai menyewa inap desa berkenaan.

Menurutnya, kedua-duanya ditahan di Penaga, Pulau Pinang pada jam 11 malam, Rabu lalu.

“Pasangan tersebut juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing negatif,” katanya.

Ringkasan AI

  • Sindiket dadah menggunakan inap desa sebagai stor dadah berjaya dibongkar dengan rampasan 62 kilogram syabu bernilai RM3.1 juta
  • Serbuan dilakukan selepas penahanan seorang lelaki warga Indonesia yang ditemukan dengan 150 gram syabu dan kunci inap desa
  • Pemeriksaan lanjut di inap desa menemui syabu tersembunyi di bawah katil
  • Suspek, warga Indonesia, bertugas sebagai penjaga stor dengan bayaran RM116 setiap kilogram dadah
  • Susulan penahanan, sepasang suami isteri yang menyewa inap desa turut ditahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!