Selangor timbang naikkan caj beg plastik 20 sen - Jamaliah

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Caj beg plastik di Selangor berkemungkinan dinaikkan daripada kadar semasa 20 sen selepas pelaksanaan pelan tindakan pengurangan plastik sekali guna dimuktamadkan.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, secara teorinya kenaikan caj itu boleh berlaku memandangkan kutipan caj beg plastik akan diwajibkan melalui penguatkuasaan undang-undang kecil yang sedang dirangka kerajaan negeri.
"Ketika ini cajnya 20 sen dan telah dilaksanakan untuk tempoh agak lama. Selepas ini kita akan mewujudkan peruntukan dalam undang-undang kecil bagi memberi punca kuasa kepada PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk memastikan kutipan caj plastik dilaksanakan.
"Berapa kadar baharu itu masih belum ditetapkan, namun secara teorinya memang mungkin akan ada kenaikan kerana selepas ini kutipan caj plastik akan diwajibkan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa bersama media di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, Jamaliah berkata, kadar caj baharu itu akan dibincangkan terlebih dahulu dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi mendapatkan persetujuan semua ahli mesyuarat sebelum dimuktamadkan.
Menurutnya, sebagai perbandingan Pulau Pinang sebelum ini memulakan caj beg plastik pada kadar RM1 sebelum dinaikkan kepada RM2 bagi setiap beg plastik.
Bagaimanapun, katanya, kadar caj baharu yang bakal diputuskan perlu realistik dan praktikal untuk warga di negeri ini.
Dalam pada itu, Jamaliah berkata kerajaan negeri juga merancang memperkenalkan larangan penggunaan plastik sekali guna pada hari tertentu di premis perniagaan.
Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan melalui pindaan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian bagi memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap premis yang tidak mematuhi peraturan berkenaan.
"Sebagai contoh, mungkin pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad penggunaan plastik sekali guna akan dilarang di premis tertentu.
"Jika peruntukan ini dimuktamadkan, Selangor berpotensi menjadi negeri pertama yang mempunyai undang-undang kecil khusus bagi mengawal penggunaan plastik sekali guna," tambah beliau.
Menurutnya, pelan tindakan serta perundangan berkaitan dijangka dimuktamadkan sekitar Julai ini bergantung kepada proses semakan undang-undang termasuk terjemahan dalam bahasa Inggeris.
Beliau berkata, setakat ini, kutipan caj beg plastik di Selangor mencecah lebih RM20 juta sejak pelaksanaannya.
Katanya, sebahagian besar kutipan itu digunakan untuk kempen kesedaran mengurangkan penggunaan plastik selain membiayai Program Kitar Semula (SelKitar) yang membolehkan penduduk meletakkan bahan kitar semula di hadapan rumah untuk dikutip oleh lori khas.
"Program ini kini dilaksanakan sebagai projek perintis di 11 kawasan PBT dan melibatkan kira-kira 400,000 kediaman,” katanya.
Jamaliah berkata, objektif utama pelaksanaan caj plastik bukan untuk meningkatkan kutipan, sebaliknya bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dalam kalangan masyarakat.
"Harapan kita sebenarnya kutipan itu semakin berkurang kerana orang ramai sudah tidak lagi menggunakan beg plastik sekali guna,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Caj beg plastik di Selangor mungkin dinaikkan dari 20 sen
- Peningkatan caj plastik disebabkan langkah penguatkuasaan undang-undang kecil yang sedang dirangka
- Kadar caj baharu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sebelum dimuktamadkan
- Selangor merancang memperkenalkan larangan penggunaan plastik sekali guna pada hari tertentu
- Objektif utama pelaksanaan caj plastik adalah untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

