Kenaf diperluas ke Sabah, Sarawak perkukuh industri komoditi negara

KOTA BHARU – Kerajaan memperluaskan pembangunan tanaman kenaf ke Sabah dan Sarawak sebagai langkah memperkukuh industri komoditi negara serta membuka potensi baharu dalam sektor pengeluaran fiber, biji benih dan makanan ternakan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pembangunan itu melibatkan kerjasama dengan beberapa agensi dan syarikat tempatan bagi meningkatkan keluasan tanaman kenaf di kedua-dua negeri berkenaan.
Menurut beliau, di Sabah, pembangunan kenaf dilaksanakan melalui kerjasama dengan Sabah Land Development Berhad (SLDB).
"Jabatan Pertanian Sabah telah meluluskan permit import bagi kemasukan biji benih kenaf khas untuk pengedaran dan penanaman di daerah Sook, Keningau.
"Potensi keluasan tanaman di kawasan tersebut dianggarkan mencecah 200 hektar melibatkan pengeluaran biji benih dan makanan ternakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa di sini pada Selasa.
Beliau berkata, sebagai permulaan, plot percubaan seluas lima hektar akan dilaksanakan bagi pengeluaran makanan ternakan melalui anak syarikat SLDB iaitu Sabah Livestock Diaries Breeder Sdn Bhd (SLDBSB) yang dijangka bermula pada Mei ini.
Selain itu, katanya, pembinaan pusat pemprosesan biji benih dan makanan ternakan juga akan dibangunkan bagi menyokong perkembangan industri kenaf di negeri berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Noraini memberitahu, pembangunan kenaf di Sarawak turut dipergiatkan melalui kerjasama dengan beberapa syarikat tempatan.
Menurut beliau, kerjasama dengan Syarikat Juta Walet Trading and Services menyasarkan keluasan tanaman kira-kira 234 hektar bagi projek ladang kluster untuk pengeluaran fiber, biji benih serta makanan ternakan.
"Selain itu, terdapat juga potensi tanaman kenaf seluas 500 hektar di kawasan Miri dan Sarikei bagi tujuan sama.
"Pada masa sama, Syarikat Texo Engineering turut dikenal pasti mempunyai potensi keluasan tanaman kira-kira 150 hektar untuk pembangunan kenaf," katanya.
Beliau berkata, bagi menyokong rantaian industri tersebut, kerajaan juga merancang pembinaan pusat pemprosesan biji benih kenaf di Bintulu serta pusat pemprosesan kenaf di Ulu Sebauh, Bintulu.
Menurutnya, langkah memperluaskan penanaman kenaf ke Sabah dan Sarawak dijangka mampu memperkukuh rantaian industri kenaf negara di samping memberi peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
Ringkasan AI
- Kerajaan memperluaskan pembangunan tanaman kenaf ke Sabah dan Sarawak untuk mengukuhkan industri komoditi dan membuka potensi baharu dalam pengeluaran fiber, biji benih dan makanan ternakan
- Pembangunan di Sabah melibatkan kerjasama dengan Sabah Land Development Berhad (SLDB) dan permulaan dengan plot percubaan seluas lima hektar untuk makanan ternakan
- Di Sabah, potensi keluasan tanaman kenaf dianggarkan mencecah 200 hektar untuk pengeluaran biji benih dan makanan ternakan
- Pembangunan di Sarawak melibatkan kerjasama dengan syarikat tempatan dan menyasarkan keluasan tanaman kira-kira 234 hektar untuk projek ladang kluster
- Pembinaan pusat pemprosesan biji benih kenaf di Bintulu dan pusat pemprosesan kenaf di Ulu Sebauh, Bintulu, dirancang untuk menyokong rantaian industri kenaf
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

