Pekerja ladang cedera diserang gajah

Warga Indonesia cedera dipercayai diserang gajah ketika cuba membuka pintu pagar Ladang Sungai Sayong, Kluang kelmarin. - Foto Bernama
Warga Indonesia cedera dipercayai diserang gajah ketika cuba membuka pintu pagar Ladang Sungai Sayong, Kluang kelmarin. - Foto Bernama
A
A
A

KLUANG - Seorang warga Indonesia cedera dipercayai diserang gajah liar ketika cuba membuka pintu pagar Ladang Sungai Sayong dekat sini awal pagi kelmarin.

Pengarah Perhilitan Johor, Salman Saaban berkata, Nadang Surnarya, 49, yang juga pekerja ladang kelapa sawit berkenaan dipercayai diserang seekor gajah dari kumpulan gajah yang difahamkan melalui kawasan ladang berkenaan yang merupakan laluan mamalia berkenaan.

"Sekitar jam 10 pagi, Pejabat Perhilitan Daerah Kluang telah menerima aduan daripada kerani ladang berkenaan mengenai salah seorang pekerja mereka telah tercedera diserang gajah.

"Kejadian berlaku pada jam lebih kurang 7.30 pagi berhampiran pintu masuk ladang, di mana ketika itu mangsa berseorangan untuk membuka pintu pagar namun telah diserang oleh seekor dari kumpulan gajah yang tanpa disedarinya datang dari arah berdekatan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Salman berkata, mangsa telah ditemui oleh seorang pekerja ladang lain pada jam lebih kurang 8 pagi dan terus dibawa ke Hospital Kluang untuk pemeriksaan lanjut.

“Kedua-dua kaki mangsa didapati patah serta terdapat kecederaan di bahagian luaran badan mangsa selain lebam di bahagian mukanya,” kata beliau.

Hasil siasatan mendapati ladang tersebut mempunyai sistem pagar elektrik gajah.

Selain itu, kawasan ladang berkenaan juga merupakan kawasan laluan utama kumpulan gajah Taman Negeri Johor yang dianggarkan sebanyak 40 hingga 50 ekor.

Artikel Berkaitan:

Menurut Salman, pihaknya akan terus memantau gajah-gajah berkenaan.

Tambah beliau, kejadian ini merupakan kejadian pertama manusia diserang gajah di Johor pada tahun ini.

Tahun lepas, terdapat dua kes gajah menyerang manusia di Johor melibatkan satu kematian. - Bernama