'Isu rumah ibadah tak sah bukan tanggungjawab PMX semata-mata' – Ketua AMK Johor

JOHOR BAHRU – Rumah ibadah yang tidak sah wujud sejak lama dan bukan dibina semasa Kerajaan Madani atau selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohd Faezuddin Puad menegaskan isu terbaharu yang timbul berkaitan perluasan rumah ibadah tidak sah bukan bermakna semua kebenaran pembinaan diberikan oleh Perdana Menteri.
Malah, beliau menegaskan perkara itu berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah negeri masing-masing.
“Mengapa semua kesalahan ini dibebankan kepada PMX? Seolah-olah PMX memberi kebenaran untuk membina rumah ibadah sesuka hati.
"Seolah-olah semua rumah ibadah tidak sah baru dibina sebaik sahaja PMX mengangkat sumpah. Sedangkan isu ini berlaku di seluruh negara termasuk di Kedah yang diperintah Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam kenyataan itu, Faezuddin turut berkongsi laporan media mengenai ketegasan Perdana Menteri berhubung isu pembinaan kuil tanpa kebenaran yang mesti ditangani mengikut peraturan dan undang-undang, sama seperti pembinaan masjid, surau atau gereja.
Presiden PKR itu dilaporkan berkata bantahan terhadap pembinaan kuil haram boleh dilakukan, namun ia perlu dibuat secara berhemah tanpa menimbulkan permusuhan atau hasutan yang boleh menggugat keselamatan negara.
Sementara itu, Faezuddin yang juga Ketua Cabang PKR Pulai tidak menolak isu berkenaan sengaja dipolitikkan oleh pihak tertentu apabila tumpuan hanya diberikan kepada negeri yang diperintah oleh Pakatan Harapan (PH).
“Ya, kita setuju masalah ini perlu diselesaikan segera, tetapi harus mengikut jalur undang-undang.
"Serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas. Kalau nak kritik PBT atau pihak berkuasa yang lambat dan tidak tegas, silakan.
"Tetapi jangan sampai melampaui batas sehingga ada pihak yang mengaku pejuang Islam sanggup mencemuh dan menghina agama serta bangsa lain,” katanya.
Beliau turut menegaskan Islam tidak mengajar umatnya untuk memaki hamun atau menghina agama lain.
“Tepuk dada, tanya iman,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Rumah ibadah yang tidak sah wujud sejak lama dan bukan semasa pemerintahan Madani atau selepas Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri
- Isu pembinaan rumah ibadah tidak sah di bawah bidang kuasa PBT dan Pejabat Tanah negeri
- Tuduhan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai pembinaan rumah ibadah tidak sah adalah tidak tepat
- Perdana Menteri menegaskan pembinaan kuil tanpa kebenaran mesti ditangani mengikut undang-undang
- Isu pembinaan rumah ibadah tidak sah mungkin dipolitikkan dan harus diselesaikan secara berhemah serta mengikut undang-undang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

